Alvin Goh, Addy Kanna ditahan 2 tahun mengikut Poca
Dua individu yang dipercayai menjadi watak utama kegiatan perjudian dalam talian serta dua anggota polis ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Poca), lapor media.
Menurut BH Online Alvin Goh - atau nama sebenarnya Goh Leong Yeong - akan menghabiskan masa selama dua tahun di Penjara Simpang Renggam.
Turut ditahan di situ ialah seorang anggota polis yang terbabit dalam sindiket berkenaan.
Dalang kedua yang ditahan untuk tempoh sama mengikut Poca ialah Addy Kanna.
Dia ditahan di Penjara Pokok Sena di Kedah. Seorang lagi anggota polis akan ditempatkan di Penjara Bentong, Pahang.
Menurut BH Online, langkah menahan empat individu itu mengikut Poca diputuskan Lembaga Pencegahan Jenayah Kementerian Dalam Negeri pada Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, mengesahkan penahanan terbabit dan memberitahu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan tidak lama lagi.

