PARLIMEN l Sidang Dewan Rakyat terhenti seketika setelah penggera kebakaran berbunyi, menyebabkan semua ahli Parlimen diarah meninggalkan dewan.

Penggera kebakaran berbunyi pada pukul 10.18 pagi semasa Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim menjawab soalan pada sesi soal jawab lisan.

Susulan itu semua yang berada di bangunan parlimen termasuk ahli parlimen dan pegawai diarahkan keluar dan berkumpul di tempat berkumpul sewaktu kecemasan di bangunan Parlimen.

Sidang bagaimanapun bersambung semula 20 minit kemudian.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memaklumkan "masalah teknikal" berlaku menyebabkan penggera berbunyi.

"Terima kasih atas kerjasama semua. Saya rasa ada sedikit masalah teknikal.

"Punca kejadian sedang disiasat," katanya sambil menambah bahagian keselamatan Parlimen telah melakukan pemeriksaan dan mendapati tiada perkara yang mencemaskan berlaku.

"Sekarang pada 10.32 pagi, Alhamdulillah semuanya selamat dan loceng sidang dewan dibunyikan selama dua minit untuk memanggil ahli Parlimen masuk ke dalam dewan," katanya.

Sidang diteruskan dengan Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) menyambung soalan tambahannya berhubung bantuan kerajaan untuk Felda.

Sementara itu, Bernama melaporan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah sebagai berkata semua ahli parlimen mematuhi arahan untuk keluar dari bangunan sebagai langkah keselamatan.

"Saya dan teman-teman berada dalam dewan dan mendengar ada penggera kebakaran dan diarah keluar dari bangunan Parlimen dan tidak menggunakan lif," katanya.

Katanya, kejadian seumpama ini merupakan yang pertama dialaminya sejak menjadi ahli parlimen.