Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jurang pendapatan: Wanita hanya dapat RM94 bagi setiap RM100 diraih lelaki
Diterbitkan:  Dec 1, 2020 3:20 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Di Malaysia, golongan wanita secara puratanya meraih gaji sebanyak 94 sen bagi setiap seringgit yang diraih golongan lelaki, menurut data 2019 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Nilai itu meningkat 7 sen berbanding purata pada 2018.

Anggaran purata pendapatan lelaki untuk setahun pada 2019 adalah RM39,648, wanita pula RM37,296.

Bagi lelaki, nilai itu naik RM1,560 berbanding 2018. Anggaran untuk wanita pula naik RM1,778.

Bagi kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB), 80.9 peratus lelaki termasuk dalam tenaga kerja berbanding 55.6 peratus wanita.

DOSM menyatakan angka ini sebagai sebahagian daripada "Statistik Pemerkasaan Wanita Dalam Domain Terpilih" yang diterbitkan hari ini.

Menurut DOSM, Indeks Jurang Gender Malaysia adalah pada kadar 0.709. Nilai satu menunjukkan kesamaan telah dicapai.

Selain gaji, satu lagi bidang di mana golongan wanita terkebelakang adalah penguasaan politik.

"Penguasaan politik mencatat skor terendah iaitu 10.8 peratus (skor 0.108) yang menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam jawatan menteri, Parlimen dan DUN.

"Namun, peratusan skor telah meningkat berbanding 2018 (0.106)," kata Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin.

Hanya 14.9 peratus ahli Parlimen dari kalangan wanita dan 17.9 peratus menteri ketika pentabdiran PH pada 2019 adalah golongan itu.

Uzir juga berkata, berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia, kedudukan negara di peringkat global untuk kesamaan gender turun 10 tangga berbanding 2018, iaitu pada kedudukan 73.

Pada masa sama, golongan wanita terus melangkaui lelaki dalam kemasukan ke pengajian tinggi, iaitu sebanyak 50.2 peratus berbanding 36.3 peratus bagi lelaki.

Lihat Komen
ADS