Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganggur ditahan cuba samun guna pistol tiruan
Diterbitkan:  Dec 2, 2020 10:32 AM
Dikemaskini: 2:32 AM

Seorang penganggur ditahan kerana disyaki melakukan cubaan samun menggunakan pistol tiruan di sebuah kawasan parkir sebuah restoran di Kuchai Lama, di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata suspek lelaki tempatan berusia 47 tahun itu melakukan cubaan samun terhadap seorang pengurus bank di Jalan Kuchai Maju 8 pada jam 10.30 malam kelmarin.

Beliau berkata kejadian berlaku apabila suspek cuba menyamun mangsa wanita berusia 32 tahun yang baru selesai makan malam di restoran berkenaan dan sedang masuk ke dalam keretanya di parkir berkenaan.

Menurutnya, suspek masuk ke dalam kereta mangsa sebelum mengacukan pistol untuk merampas barangan berharga.

Bagaimanapun, mangsa menjerit meminta pertolongan sehingga menyebabkan suspek melarikan diri.

“Pada jam 10.45 malam hari yang sama, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menahan suspek di lokasi dan turut dirampas sepucuk pistol tiruan,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Anuar berkata suspek dibawa ke IPD Brickfields untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Seramai tiga saksi di tempat kejadian telah dirakam percakapan untuk membantu siasatan, sementara mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dan kecederaan dalam kejadian itu, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS