Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Dana Zoo Negara lebih dari cukup untuk tampung makanan haiwan'
Diterbitkan:  Dec 2, 2020 7:25 PM
Dikemaskini: 11:25 AM

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Zoo Negara telah berjaya mengumpul sumbangan RM10.6 juta daripada pelbagai pihak dalam bentuk kewangan dan makanan haiwan antara Januari dan September 2020.

Justeru, katanya, jumlah itu sepatutnya lebih daripada mencukupi untuk menampung keperluan makanan haiwan berdasarkan rekod perbelanjaan Zoo Negara.

"Pihak zoo hendaklah menguruskan sumbangan yang diterima secara telus dan berhemah," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Zoo Negara sebelum ini memaklumkan bahawa berdasarkan situasi kewangan mereka yang terjejas akibat Covid-19, ia hanya dapat bertahan selama tiga bulan.

Media sebelum ini melaporkan kos operasi Zoo Negara secara puratanya mencecah RM1 juta sebulan, meliputi pembayaran gaji kakitangan berjumlah RM400,000, keperluan makanan (RM350,000), bil elektrik (RM140,000) dan bil air RM40,000.

Sementara itu, Shamsul berkata Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar RM1.3 juta telah disalurkan kepada Zoo Negara pada 10 April lalu untuk menampung keperluan bekalan makanan hidupan liar, pengurusan penternakan dan ubat-ubatan, di samping diskaun 15 peratus bil elektrik secara bulanan selama enam bulan, semuanya diberikan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.

"Bantuan kerajaan kepada Zoo Negara bukan sahaja dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebaliknya peruntukan kewangan telah disalur sejak awal penubuhan Zoo Negara," katanya.

Setakat ini, katanya lagi, kerajaan telah menyediakan peruntukan lebih RM50 juta bagi pelbagai projek menaik taraf Zoo Negara sejak Rancangan Malaysia Ketujuh.

Shamsul turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan haiwan di Zoo Negara yang berdepan dengan krisis kewangan berikutan PKP.

Jelas Shamsul, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Zoo Negara pada hari Khamis ini untuk membincangkan mekanisme pengukuhan operasi Zoo Negara.

Menurutnya, perbincangan itu akan meliputi aspek tadbir urus supaya Zoo Negara lebih berdaya maju dan pada masa yang sama memastikan kebajikan hidupan liar sentiasa terpelihara.

Beliau berkata kementerian sentiasa berusaha untuk menyokong dan membantu inisiatif Zoo Negara walaupun ia dimiliki oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan beroperasi sebagai entiti perniagaan yang diberikan permit pengendalian zoo secara tahunan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Lihat Komen
ADS