Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KWSP umum dua kategori ahli layak buat pengeluaran i-Sinar
Diterbitkan:  Dec 2, 2020 9:51 PM
Dikemaskini: 1:51 PM

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dua kategori pencarum yang layak mengeluarkan simpanan dalam Akaun 1 melalui skim i-Sinar yang dilaksanakan bagi membantu rakyat menangani kesan Covid-19.

Perincian itu diumumkan seminggu selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mempersetujui gesaan beberapa pemimpin termasuk dari Umno untuk memperluaskan program berkenaan meskipun terdapat kebimbangan bahawa ia boleh menjejaskan perancangan kewangan persaraan ahli KWSP.

Dalam kenyataan media hari ini, KWSP memaklumkan, ahli yang layak boleh membuat pengeluaran dari Akaun 1 berdasarkan baki dalam akaun mereka.

Mereka yang mempunyai RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga maksimum RM5,000.

Bagi ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam Akaun 1, mereka boleh membuatkan pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1, atau sehingga RM60,000 (yang mana lebih rendah).

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan pembayaran pertama sehingga RM10,000.

“Bagi memastikan kelancaran proses permohonan, ahli digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemas kini nombor telefon bimbit untuk menerima Transaction Authorisation Code (TAC) di kios atau kaunter KWSP, dan memastikan nombor akaun bank mereka adalah aktif,” kata kenyataan KWSP itu.

Bagi dua kategori ahli yang layak untuk i-Sinar, KWSP menyatakan bahawa ahli Kategori 1 adalah mereka yang tiada caruman KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan, atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

Bagi ahli Kategori 1, kriteria kelulusan untuk pengeluaran i-Sinar akan dilakukan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan tidak memerlukan dokumen sokongan.

Ahli hanya perlu membuat permohonan secara dalam talian melalui laman web i-Sinar KWSP mulai 21 Disember, dan pembayaran akan dibuat mulai pertengahan Januari 2021.

Sementara itu, ahli Kategori 2 adalah mereka yang mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas termasuk gaji pokok, elaun, dan faedah lain selepas Mac 2020.

Menurut KWSP, pengurangan tersebut hanya akan dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

Dokumen sokongan tersebut merupakan slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa.

“Jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan,” katanya.

Bagi ahli dalam Kategori 2 boleh memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021.

Ahli-ahli akan dimaklumkan berhubung status permohonan mereka dalam tempoh dua hingga tiga minggu, dan jika ia diluluskan, pembayaran akan dilakukan sebelum hujung bulan berikutnya.

 

Lihat Komen
ADS