Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tawaran jawatan pada Ku Li tak jejas keyakinan pasaran pada Petronas'
Diterbitkan:  Dec 3, 2020 10:49 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata tawaran jawatan sebagai Penasihat Petronas kepada Tengku Razaleigh Hamzah tidak menjejaskan keyakinan pasaran terhadap syarikat itu. 

Dia berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimen pada 2 Dis kepada Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bertanya apakah tawaran berkenaan berdasarkan satu transaksi politik yang akan menjejaskan keyakinan pasaran kepada Petronas.

Selain itu Lim juga meminta penjelasan mengenai prestasi terkini syarikat minyak milik negara itu.

"Tawaran jawatan kepada mana-mana individu tidak akan menjejaskan keyakinan pasaran terhadap Petronas. Ini adalah kerana Petronas adalah sebuah syarikat yang diuruskan dengan baik dan diterajui oleh pasukan pengurusan yang cekap.

"Keyakinan pasaran serta para pelabur bergantung kepada pelbagai faktor seperti pertumbuhan ekonomi negara dan perdagangan dunia yang sangat terkesan dengan krisis pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia.

"Faktor ini ditambah dengan kejatuhan teruk harga minyak mentah dan perang perdagangan (trade war) antara China dan Amerika Syarikat," katanya dalam jawapan bertulis.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh memaklumkan yang beliau menolak tawaran untuk menjadi penasihat Petronas atas dasar perlembagaan.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini didakwa menawarkan jawatan kepada ahli parlimen di syarikat dan agensi berkaitan kerajaan sebagai balasan terhadap sokongan politik.

Mengenai prestasi suku kedua Petronas, Mustapa menjelaskan bahawa ini disebabkan oleh ekonomi yang dilanda Covid-19.

"Kerugian ini disebabkan oleh pendapatan yang rendah dan rosot nilai terhadap aset yang ketara berikutan penurunan harga minyak ekoran permintaan lemah akibat penularan wabak Covid-19 dan keadaan lebihan bekalan dalam pasaran.

"Pada suku kedua 2020, harga minyak mentah Brent terus jatuh ke paras purata sekitar AS$29.20 setong berbanding AS$68.83 setong pada suku kedua tahun 2019," katanya lagi.

Petronas mencatat kerugian bersih RM3.4 bilion yang lebih kecil pada suku ketiga tahun ini.

Walaupun mengalami kerugian ini, syarikat minyak dan gas nasional menyumbang dividen RM34 bilion kepada kerajaan Malaysia pada tahun 2020.

Pada tahun 2019, Petronas membayar dividen RM54 bilion kepada Putrajaya setelah mencatat keuntungan RM14.7 bilion pada suku kedua dan keuntungan RM7.1 bilion pada suku ketiga.

Mustapa berkata Petronas akan mengusahakan "strategi serampang tiga mata" dengan memaksimumkan penjanaan tunai; mengembangkan perniagaan utamanya dan memperhebatkan usaha untuk mengekalkan organisasinya dalam menghadapi perubahan; serta memastikan masa depan syarikat dengan terlibat dalam peluang perniagaan baru.

Lihat Komen
ADS