Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz menasihati Tun Dr Mahathir Mohamad supaya segera berhenti mengkritik kerajaan dan Perdana Menteri demi kebaikan parti dan negara.

"Jika saya boleh menasihatkan Dr Mahathir sebagai rakan... saya memang rakan beliau. Saya sudah berusia 63 tahun. Saya bukan muda lagi. Tolong Tun, tolonglah ingat apa yang berlaku kepada anda dahulu. Kita tidak perlu itu lagi. Tolonglah, bantu parti dan negara," katanya.

Rafidah berharap Dr Mahathir merupakan orang pertama memahami bagaimana kritikan dan teguran terhadap kepimpinan boleh merosakkan sesebuah parti.

"Saya amat sedih dengan isu yang berterusan itu kerana Perdana Menteri perlu diberikan peluang memimpin kerajaan dan negara selepas diberi mandat oleh Umno dan rakyat semasa pilihan raya umum lepas," katanya selepas merasmikan Forum Perdagangan Antarabangsa dalam Perkhidmatan Profesional dalam Ekonomi APEC, di Kuala Lumpur.

Menurut laporan Bernama Rafidah juga mahu orang ramai dan Umno menilai Abdullah daripada segi kepimpinannya dan bukan dirinya secara individu.

"Ia tidak adil. Jika akhirnya rakyat mendapati Abdullah tidak menepati jangkaan, maka mereka (rakyat) akan melakukan apa yang patut. Itu adalah amalan biasa dalam mana-mana sistem demokrasi tetapi tolonglah jangan mendahului penilaian parti dan orang ramai dengan membuat kritikan tajam," katanya.

Rafidah berkata tidak ada perdana menteri yang mendapat sokongan 100 peratus daripada rakyat termasuk Dr Mahathir sendiri yang pernah dikritik keras semasa zaman pemerintahannya.

Sokongan padu

"Beliau hampir hilang jawatan presiden Umno apabila dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah tetapi majoriti ahli menyokongnya dan beliau menang walaupun dengan keputusan tipis," katanya.

Ketua Wanita itu juga menegaskan pergerakan itu berdiri teguh di belakang Abdulllah dna terus memberi penerangan kepada ahli-ahlinya.

"Apa yang kita semua lakukan adalah menyokong beliau Perdana Menteri dan menjelaskan kepada rakyat kerana kami tidak mahu membiarkan kritikan terhadap kerajaan dan kepimpinan merosakan kerajaan atau memecahbelahkan parti," kata Rafidah.

"Abdullah membenarkan perdebatan terhadap sebarang isu dalam Kabinet dan kami dibenarkan bercakap apa yang kami suka. Keputusan tertentu, boleh saya katakan pedih, tetapi ia dilakukan secara persetujuan bersama. Perlu difahami bahawa ia bukan keputusan peribadi Abdullah... jadi, jangan jadikan beliau seorang sasaran tuduhan," katanya.

"Bagaimanapun, perlu difahami bahawa memang sentiasa ada pengriktik dalam mana-mana parti dan kerajaan tetapi penilaian saya di peringkat akar umbi, mereka semua berdiri di belakang kepimpinan sekarang," katanya.

"Saya juga berharap pihak akhbar janganlah menimbulkan suasana kemarahan lebih daripada yang sedia ada. Tolonglah beri tumpuan kepada soal pembangunan negara," katanya.

Menteri itu menambah, kritikan lantang dan berterusan bekas Perdana Menteri terhadap kepimpinan Abdullah tidak menjejaskan imej Malaysia di luar negara.

"Saya baru kembali dari Australia dan tidak ada satu soalan pun dibangkitkan berhubung perkara itu. Saya amat bangga. Semasa krisis Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bukan sahaja pelajar malah orang asing juga mempunyai banyak soalan," katanya.