KKM kaji pendekkan tempoh kuarantin pengembara asing
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti kemungkinan memendekkan tempoh kuarantin bagi warga asing yang memasuki negara ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan itu menegaskan, pihaknya masih meneliti data berhubung perkara itu.
"Kita tengok data jika kita dapat pendekkan (tempoh kuarantin), sama ada menjadi 12 hari atau 10 hari.
"Kita perlu uruskan risikonya. Kita perlukan data sebelum kita boleh kaji semula polisi itu," katanya kepada wartawan semasa sidang media kementerian itu di Putrajaya hari ini.
Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya apakah kerajaan berhasrat mengubah polisi terhadap warga negara asing yang memasuki negara ini.
Pada masa ini, Malaysia melaksanakan peraturan yang ketat untuk semua pengembara asing di mana mereka diminta menjalani ujian swab Covid-19 dan kuarantin wajib selama 14 hari.
Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sedar beberapa negara hanya mewajibkan warga asing dikuarantin hanya selama tujuh atau 10 hari.
Kes di Bangi bukan kluster baru
Sementara itu, Noor Hisham mengesahkan terdapat 90 kes positif dikesan di kalangan pekerja sebuah syarikat di Bangi.
Ini susulan beberapa video tular di media sosial, yang menunjukkan sekumpulan individu diiringi oleh petugas kesihatan menaiki beberapa kenderaan.
Terdapat dakwaan bahawa mereka adalah pekerja sebuah syarikat sistem pengangkutan di Bangi.
Namun, menurutnya, para pekerja berkenaan adalah sebahagian daripada kluster Hentian, yang setakat ini merekodkan sebanyak 1,386 kes termasuk 38 yang dilaporkan hari ini.
"Kluster ini telah merebak di Bangi, Kajang dan sebagainya.
"Kita pergiat aktiviti pengesanan kes berkaitan kluster ini. Ini kluster sedia ada, bukan kluster baru," katanya.

