Adun Jeram: Bantahan hanya pada minuman keras, bukan produk tak halal lain
Adun Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, bantahan yang disampaikannya bagi pihak penduduk di Puncak Alam terhadap pasar raya Jaya Grocer baru-baru ini hanya ditujukan buat minuman alkohol bukan produk tidak halal yang lain
Shaid mengatakan ini setelah pasar raya berkenaan menutup seksyen makanan tidak halal selepas dia menyerahkan memorandum berkenaan, dengan antara lain menyebutkan sebagai "menghormati sensitiviti 90 peratus masyarakat Islam di Puncak Alam".
"Saya menerangkan kepada pihak pengurusan di mana bantahan ini hanya kepada minuman alkohol oleh penduduk Bandar Puncak Alam.
"Tidak ada halangan bagi menjual makanan ‘non-halal’ di Jaya Grocer sekiranya mengikuti SOP dan kaunter yang berasingan.
"Memandangkan mereka meletak kedua-duanya sekali di sudut yang sama, maka mereka menutup pintu masuk keseluruhan bahagian tersebut.
"Saya percaya mereka akan buka semula sudut tersebut setelah minuman alkohol dialihkan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Shaid menambah bahawa penduduk Puncak Alam faham dan hormat pada masyarakat bukan muslim ke atas pilihan makanan mereka dan bantahan sebelum ini hanya bagi memastikan kawasan mereka bebas dari minuman alkahol.
"Sebelum ini Mereka juga pernah hantar memorandum yang sama di pasar raya dan kedai serbaneka seperti Tesco, Econsave, Seven Eleven, KK Mart dan kedai-kedai yang menjual minuman alkohol.
"Pemilik akur kepada kehendak penduduk yang mana majoritinya Melayu beragama Islam," katanya.
Shaid merupakan Adun bebas yang berpihak kepada Parti Pejaung Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftarkan.
Dia berharap kenyataannya dapat menjelaskan isu itu.

