Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Perak pertimbang tiga nama calon MB, kata sumber

Pemimpin Umno Perak mengunci mulut mengenai calon menteri besar mereka selepas mesyuarat di Ipoh malam ini.

Bagaimanapun, sumber parti memberitahu Malaysiakini bahawa tiga nama yang dipertimbangkan.

"Setakat ini tiga nama yang dipertimbangkan untuk jawatan menteri besar Perak iaitu, Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad, bekas menteri besar, Zambry Kadir dan Adun Rungkup Shahrul Zaman Yahya.

"Tapi nampaknya lebih kepada Saarani dengan kedudukannya sebagai pengerusi Umno negeri, bagaimanapun Zambry juga ada pengalaman.

"Namun, Saarani juga sudah empat penggal menjadi wakil rakyat," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Zahid enggan bercakap dengan pemberita selepas meninggalkan mesyuarat di ibu pejabat Umno negeri. Pemimpin lain juga enggan memberi komen.

Menurut sumber parti itu, calon muktamad sepatutnya diputuskan dalam mesyuarat malam ini.

Semalam, Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang merangkap Timbalan Presiden Bersatu gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya bagi mengekalkan kedudukan sebagai menteri besar.

Sebanyak 48 undi menolak usul keyakinan itu berbanding 10 yang menyokongnya. Satu undi rosak atau berkecuali.

Usul tersebut dibawa Adun Pengkalan Baru dari Umno, Abd Manaf Hashim.

Dalam pada itu, sumber sehingga kini Umno masih berpendirian yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak masih kekal.

Jelasnya, seperti mana keputusan parti bahawa Adun Umno Perak hanya bertindak menukar menteri besar, bukannya kerajaan.

"Soal gabungan baru tak timbul kerana sehingga kini kerajaan Perak masih dikuasai PN.

"Namun, tidak tahulah jika ada perkembangan terbaru apabila PAS memaklumkan tidak akan menyertai kerajaan Perak yang baru," katanya.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memaklumkan yang parti itu tidak akan menyertai penubuhan kerajaan Perak yang baru.

Lihat Komen
ADS