Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemelut Perak: Tunggu dan lihat keputusan setiap parti - Hishammuddin
Diterbitkan:  Dec 8, 2020 11:45 PM
Dikemaskini: 3:45 PM

Sebarang keputusan berkaitan isu pemilihan Menteri Besar Perak yang baru kini bergantung kepada pemimpin setiap parti politik, menurut Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin berkata Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini ada menyentuh mengenai pemilihan menteri besar baru negeri itu.

“Isu Perak berjalan mengikut landasannya.. soal itu anda kena tunggu dan lihat apa yang diputuskan oleh kepimpinan setiap party yang terlibat.

“…namun perkara itu tidak dibincangkan dengan terperinci dalam mesyuarat hari ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat yang bermula pukul 8.30 malam itu berakhir kira-kira dua jam kemudian, di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur.

Antara yang terawal hadir ialah Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup, Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup dan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran.

Turut hadir Ketua Pemuda BN Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon dan Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon.

Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan Sabtu lepas apabila beliau gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan Ahli Dewan terhadap Menteri Besar semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri sehari sebelumnya.

Semalam, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan kerajaan Perikatan Nasional Negeri Perak melibatkan Adun daripada Umno, PAS dan Bersatu perlu terus dipertahankan.

Mesyuarat parti itu juga bersetuju sebulat suara untuk mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baru bagi menggantikan Ahmad Faizal.

- Bernama

Lihat Komen
ADS