9 bulan Sulaiman jadi KM Melaka - Bayi lahir 9 Dis terima RM150
Seramai 40 bayi bertuah yang lahir pada 9/12/2020 menerima pemberian khas sekali bayar sebanyak RM150 daripada kerajaan negeri Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata bayi-bayi berkenaan dilahirkan antara jam 12.01 tengah malam hingga 11.59 malam tadi di enam buah hospital di negeri itu.
‘Seramai 32 bayi dilahirkan di hospital kerajaan manakala bakinya dilahirkan di hospital swasta. Bagaimanapun, saya tidak mempunyai rekod mengenai jantina bayi-bayi yang dilahirkan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri di Melaka, hari ini.
Semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2021, berkata kerajaan negeri akan memberi bantuan tersebut kepada ibu yang melahirkan bayi semalam.
Pemberian khas itu, yang akan dikreditkan ke Akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i), diberikan sebagai menyambut sembilan bulan Sulaiman berkhidmat sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 sejak dilantik ke jawatan itu pada 9 Mac lepas.
- Bernama

