PARLIMEN l Menerusi dua usul berkaitan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang kini dikenali sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) serta undi belah bahagian, Rang Undang-undang Perbekalan 2021 bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) diluluskan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan 107 Ahli Parlimen menyokong berbanding 100 tidak bersetuju, manakala 13 Ahli Parlimen tidak hadir.

Terdahulu Dewan Rakyat meluluskan usul pengurangan peruntukan bagi perluasan Jasa berjumlah RM45 juta daripada RM81.5 juta seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021, dan menolak usul pembangkang bagi memotong sepenuhnya peruntukan RM81.5 juta bagi perluasan Jasa serta RM4 juta bagi jabatan itu.

Ketika menggulung perbahasan di peringkat jawatankuasa, Menteri KKMM Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan kerajaan secara prinsip bersetuju dengan cadangan penambahbaikan berhubung isu pekerja berstatus ‘piece-meal’ di Radio Televisyen Malaysia (RTM), menerusi mesyuarat pada 4 Dis bersama Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Beliau berkata ia melibatkan pelantikan 397 pekerja berstatus ‘piece-meal’ secara kontrak berstatus penjawat awam, 34 stringer dan 222 masih kekal sebagai ‘piece-meal’ kerana pelbagai faktor termasuk menjadikan kerja berkenaan sebagai sambilan sahaja.

Isu itu dibangkitkan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa rang undang-undang berkenaan.

Sementara itu, Saifuddin berkata pihaknya sedar terdapat kelemahan capaian internet khususnya isu ‘blind spot’ meskipun kerajaan telah memperkenalkan pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Beliau berkata kerajaan akan berusaha meningkatkan capaian internet bukan sahaja di luar bandar, malah di kawasan bandar bagi memenuhi keperluan kesalinghubungan digital.

“Kita sebenarnya ada perancangan untuk meningkatkan lagi, mempercepatkan (capaian internet), walaupun sudah ada pelan Jendela, kita sedang fikir bagaimana untuk mempercepat lagi capaian ini,” katanya.

Jendela yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos lepas merupakan pelan infrastruktur digital lima tahun, iaitu satu inisiatif di bawah Rancangan Malaysia ke-12 yang bertujuan memenuhi keperluan kesalinghubungan digital serta menyediakan negara bagi peralihan kepada teknologi 5G.

Persidangan dewan bersambung Isnin.

- Bernama