Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hamzah cadang gabungan besar PN-BN-GPS hadapi PRU15
Diterbitkan:  Dec 11, 2020 11:04 AM
Dikemaskini: 3:04 AM

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin mencadangkan satu "piagam persefahaman politik" untuk membentuk gabungan besar merangkumi Perikatan Nasional (PN), BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi PRU15.

Hamzah berkata, pemeteraian piagam antara PN, BN dan GPS itu akan memastikan kelangsungan kerjasama antara ketiga-tiga pihak dan dapat meningkatkan keyakinan rakyat.

"Dengan termeterainya piagam ini, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat di masa hadapan," katanya dalam kenyataan.

Sebuah gabungan besar boleh mendatangkan manfaat kepada Bersatu dan Umno.

Walaupun dilihat sering bergeser, kedua-dua parti itu mungkin akan bergelut untuk menang kerusi yang cukup jika bergerak sendiri dalam PRU akan datang bagi membentuk kerajaan persekutuan.

Umno juga perlu terus mendapat sokongan PAS - yang dilihat semakin cenderung ke arah Bersatu sebagai anggota PN.

Ia dapat dilihat jelas dalam konflik di Perak minggu lalu apabila Umno menyingkirkan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan Menteri Besar.

Selepas langkah itu, PAS mengumumkan parti itu tidak akan mengambil bahagian dalam pembentukan kerajaan baru manakala Bersatu dilihat tidak puas hati dengan Umno.

Keadaan itu menyukarkan Umno kerana ia tidak cukuo lima kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Masalah itu selesai selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf atas tindakan parti itu dalam satu pertemuan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Menyentuh konflik di Perak, Hamzah berkata ketika PN diwujudkan pada Februari lalu, persetujuan dibuat agar jawatan menteri besar dan ketua menteri dibuat secara konsensus, bukan berdasarkan parti yang memiliki paling banyak kerusi.

Katanya, persetujuan dicapai agar Bersatu terus mentadbir Perak manakala Johor diberi kepada Umno dan Kedah kepada PAS.

"Bergerak ke hadapan, persefahaman politik ini harus dikekalkan bagi menghadapi PRU15 akan datang agar PN bukan hanya dapat terus memerintah sebagai kerajaan pusat tetapi juga berjaya mengambil alih kerajaan negeri yang masih diperintah pembangkang," katanya lagi.

Pada masa ini, pembangkang mentabdir di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Umno pernah beberapa kali menyatakan bahawa parti itu bukan anggota rasmi dalam PN dan kerjasama itu hanya untuk penggal ini.

GPS juga berkata pihaknya hanya menjadi sekutu PN di peringkat pusat dan bukan anggota rasmi gabungan.

Lihat Komen
ADS