Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Individu dari zon merah yang masuk T'ganu perlu buat penilaian risiko Covid-19

Semua individu dari zon merah yang bergerak memasuki Terengganu diminta menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri bagi membolehkan penilaian risiko COVID-19 dilakukan.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata ia sebagai langkah pencegahan penularan wabak itu susulan kebenaran rentas daerah dan negeri yang bermula 7 Dis lepas.

“Sejak Isnin (7 Dis) kami mengesan ramai kontak rapat kepada kes positif atau kluster dari luar Terengganu. Juga kes positif yang dikesan bergerak masuk ke Terengganu. Jika tidak dikawal dengan cepat, situasi ini bakal mengundang kluster baharu di Terengganu.

“Sebagai langkah kawalan, semua yang bergerak masuk ke negeri ini khususnya dari zon merah diminta menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) atau Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah untuk kami buat penilaian risiko dan tindakan seterusnya. Kami menyediakan borang deklarasi yang perlu dilengkapkan,” demikian menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi Facebook miliknya hari ini.

Menurut Dr Nor Azimi, langkah berjaga-jaga perlu dilakukan untuk melindungi Terengganu, apatah lagi pihaknya menjangkakan pertambahan kes berikutan peningkatan kes COVID-19 di negeri berhampiran.

“Ada pengembara yang masuk dari zon merah terus ke Klinik Kesihatan untuk dibuat saringan tanpa singgah di mana-mana. Mereka dikesan positif dan terus dimasukkan ke hospital. Sikap begini sangat baik dan patut dipuji kerana ia membantu mengelakkan penularan dalam komuniti serta patut dicontohi oleh pengembara lain,” katanya.

Mereka yang berkenaan boleh menghubungi CPRC melalui talian 09 6229775 dan 09 6353752.

- Bernama

Lihat Komen
ADS