Najib: Malaysia hantar askar ke Lebanon walau dibantah Israel
Malaysia hanya menunggu lampu hijau dari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)untuk menghantar pasukan pengaman ke Lebanon dan tidak akan menghiraukan bantahan Israel.
Malaysia hanya menunggu lampu hijau dari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)untuk menghantar pasukan pengaman ke Lebanon dan tidak akan menghiraukan bantahan Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, yang membuat keputusan penyertaan Malaysia dalam pasukan pengaman itu adalah Setiausaha Agung PBB Kofi Annan, bukannya rejim Israel.
"Yang memutuskan nanti (penyertaan) bukan Israel, yang memutuskan adalah Setiausaha Agung PBB. Soal Israel nak bantah itu soal dialah," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan pelan dasar program pembangunan usahawan industri asas tani di Sik, Kedah.
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata Kofi Annan menyambut baik hasrat Malaysia menyertai pasukan pengaman.
"Saya dah cakap dengan Kofi Annan... dekat 10 hari lepas, terutama pada waktu mesyurat majlis keselamatan PBB. Masa beliau telefon itu, beliau telah bertanyakan pendirian Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tentang Lebanon."
"Saya beri pandangan antaranya supaya gencatan senjata tanpa syarat dikuatkuasa dengan segera, Israel mesti berundur dari selatan Lebanon, pasukan pengaman PBB yang sedia ada di selatan Lebanon perlu diperbesarkan untuk ambil peranan baru memastikan kestabilan di kawasan berkenaan," katanya.
Abdullah berkata beliau juga telah memberitahu Setiausaha Agung PBB itu bahawa Malaysia telah bersiap sedia menghantar satu batalion yang lengkap dengan peralatan untuk menjalankan tugas di Lebanon.
"Beliau telah menyatakan terima kasih atas perkara berkenaan," katanya.
Abdullah berkata Perdana Menteri Lebanon, Fouad Siniora juga telah menelefonnya dan meminta pengesahan penghantaran tentera Malaysia.
"Saya beritahu Malaysia akan menghantar tentera apabila PBB telah membuat keputusan," katanya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak pula melahirkan kehairananya mengapa kehadiran pasukan pengaman Malaysia ke sana perlu dihalang kerana masalah teknikal disebabkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan rejim Israel.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata Malaysia mempunyai rekod perkhidmatan pasukan pengaman yang cemerlang.
Malah di Bosnia, pasukan pengaman Malaysia telah berkhidmat dengan cemerlang, katanya.
Ditanya sama ada pendirian Malaysia terhadap rejim Israel boleh mempengaruhi mutu perkhidmatan pasukan pengaman Malaysia ke Lebanon kelak, Najib berkata pasukan pengaman negara sentiasa berkhidmat secara profesional.
Beliau berkata Malaysia belum dimaklumkan oleh PBB mengenai bila pasukan pengaman negara ini akan dihantar ke sana.
PBB juga belum memaklumkan kepada Malaysia mengenai bantahan rejim Israel itu.
Rejim Israel dilaporkan membantah penyertaan tentera Malaysia dalam pasukan pengaman PBB di Lebanon atas alasan Kuala Lumpur tiada hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.
Bantahan Israel itu dikatakan boleh menyukarkan usaha PBB menghantar pasukan pengaman ke selatan Lebanon bagi mengawasi gencatan senjata rejim Israel dan Hizbollah yang bermula Isnin.
Selain Malaysia, Indonesia dan Brunei adalah antara negara Islam yang menawarkan penghantaran sehingga 1,000 askar bagi pasukan pengaman berkenaan. Perancis turut memberi tawaran yang sama.
Majlis Keselamatan PBB Jumaat lepas sebulat suara menerima resolusi menggesa genjatan senjata.
Ia sekali gus memberi kebenaran kepada sehingga 13,000 anggota tentera bagi menambah lagi kekuatan 2,000 anggota Pasukan Pengaman Sementara PBB (UNIFIL) di Lebanon.

