Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Salahuddin positif idea gabungan besar pembangkang

Selepas Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin mencadangkan satu "piagam persefahaman politik" untuk membentuk gabungan besar, hari ini parti pembangkang turut mengemukakan cadangan yang sama bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata pembentukan gabungan besar antara parti-parti pembangkang memang suatu isu penting.

"Saya rasa lebih baik kita bersiap sedia untuk menghadapi PRU dan saya rasa kita telah terlalu lewat untuk buat persiapan.

"Oleh kerana isu-isu Belanjawan 2021 dan pengambilalihan kuasa kita dah cuba, tetapi nampak masih belum berjaya lagi sedangkan bila kita melihat kepada pembentangan belanjawan dia memang ke arah PRU yang segera.

"Saya sendiri andaikan PRU akan diadakan pada tahun hadapan dan kita tidak mempunyai banyak masa.

"Jadi, kita mesti kembali bersama dalam satu gabungan, kalau boleh kita nak bawa banyak lagi parti menyertai gabungan kita. Contohnya, Parti Muda yang diperjuangkan oleh Syed Saddiq dan Pejuang," katanya.

Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal agar pembangkang membuat pertukaran kepemimpinan untuk menarik sokongan rakyat dalam PRU akan datang.

Tidak seperti kebanyakan negara demokrasi lain, tarikh PRU di negara ini tidak diumumkan kerajaan semasa sehinggalah ke saat-saat akhir. Ia memberikan kelebihan kepada kerajaan sebaliknya menyukarkan pembangkang membuat persediaan.

Kali terakhir Malaysia mengadakan PRU ialah pada 2018. Justeru PRU ke-15 mesti diadakan selewat-lewatnya pada 2023. Bagaimanapun lazimnya parlimen dibubarkan lebih awal dari tempoh sebenar.

Semalam Mohd Shafie berkata pembangkang pada hari ini berdepan dengan dua pilihan untuk menghadapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu berani membuat perubahan atau kekal di takuk lama.

Berucap di perhimpunan agung partinya di Kota Kinabalu, bekas ketua menteri Sabah itu berkata pembangkang perlu berani melakukan perubahan kerana sebelum ini sehingga dapat mengalahkan BN pada 2018.

Tanpa menjelaskan lebih lanjut, Salahuddin berkata dia sendiri berusaha untuk menjadikan Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan yang besar sekali gus menyatukan semua parti pembangkang yang ada.

"Tentang siapa yang akan mengetuai gabungan tersebut kita akan bincang, setakat ini yang memimpin sekarang ialah Anwar Ibrahim. Tapi, siapa saja boleh dan kita akan bincang melalui majlis pimpinan parti dan kita serahkan kepada kebijaksanaan (pemimpin parti untuk memutuskan siapa yang akan memimpin gabungan besar)," tambah Salahuddin, yang juga anggota parlimen Pulai.

Pembangkang sebelum ini berusaha untuk membentuk pelbagai pakatan politik bagi menggulingkan kerajaan BN.

Pada 2018, gabungan PH berjaya menjatuhkan BN selepas lebih 60 tahun bagaimanapun kerajaan itu jatuh akhirnya melalui gerakan beberapa ahli parlimen PKR yang berpaling tadah, selain Muhyiddin Yassin membawa Bersatu meninggalkan gabungan tersebut.

Mereka kemudian bekerjasama dengan BN dan PAS.

Awal bulan ini, Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin menggesa parti pembangkang kembali ke meja rundingan bagi mengadakan perbincangan untuk bekerjasama.

Lihat Komen
ADS