Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Usaha pulihkan Felda penting untuk kembalikan hak peneroka

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyifatkan usaha memulihkan kembali Felda sebagai langkah penting dalam mengembalikan semula hak lebih dua juta peneroka agensi itu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata apabila kerajaan PN mengambil alih tampuk pentadbiran negara, antara tumpuan utamanya ialah memulihkan Felda.

“Ini bukan satu masalah kecil dan kerajaan mesti ambil satu langkah yang boleh menyelamatkan, untuk mengembalikan semula hak peneroka yang sebenar.

“Kalau tanah itu milik mereka, kita akan bagi kepada mereka. Kalau dahulunya dijadikan syarikat awam, kita akan kembali menjadikannya syarikat persendirian,” katanya di Felda Sri Jaya, Muar hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama kepimpinan masyarakat parlimen Pagoh di Dewan Orang Ramai, Bukit Serampang.

Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh berkata pelbagai langkah pemulihan dirancang menerusi Pasukan Petugas Khas Felda yang dipengerusikan Abdul Wahid Omar dan turut disertai Pengerusi Felda Idris Jusoh.

“Saya beritahu kepada mereka apabila kita (kerajaan) terpaksa membantu untuk memulihkan keadaan dan mengembalikan semula hak peneroka Felda, maka kita hendak lihat dalam satu tempoh yang tidak terlalu lama, Felda ini akan memberikan keuntungan.

“Mereka berjanji pada saya, mulai 2023, Felda akan kembali untung seperti dahulu. Alhamdulillah,” katanya.

Pada 28 Okt lepas kabinet meluluskan cadangan terbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion oleh Felda dengan jaminan kerajaan bagi membolehkan agensi itu melaksanakan pelan pemulihan seperti yang dibentangkan oleh Pasukan Petugas Khas.

Antara cadangan yang dikemukakan oleh pasukan petugas khas itu termasuklah penstrukturan semula hutang dengan institusi kewangan, meningkatkan pendapatan teras dari tanah ladang Felda dengan menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan meningkatkan daya berdikari peneroka.

- Bernama

Lihat Komen
ADS