Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawatankuasa khas ditubuh teliti 49 syor tambah baik pilihan raya
Diterbitkan:  Dec 14, 2020 11:48 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

PARLIMEN | Kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas diketuai Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) Azmin Ali untuk meneliti kesemua 49 syor yang terkandung dalam laporan akhir Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan berkata, selepas proses penelitian itu selesai, kerajaan akan bersedia untuk membentangkan kandungan laporan itu kepada orang awam untuk mendapat maklum balas.

"Ini langkah yang akan diambil kerajaan.

"Saya yakin laporan ini juga akan dibentang Dewan Rakyat, dan jika ada keperluan untuk berbuat demikian, ia akan dibahaskan sama ada secara langsung atau tidak langsung," katanya ketika menjawab soalan tambahan oleh Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) hari ini.

Menurut Takiyuddin, jawatankuasa itu antara lain akan melihat kemampuan kerajaan dalam melaksanakan setiap syor mengikut keutamaan.

Terdahulu, Takiyuddin dalam jawapan lisannya mengesahkan bahawa ERC, yang diketuai bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Rashid Abdul Rahman, telah menyerahkan laporan akhir kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 27 Ogos.

Laporan itu dibuat berdasarkan sesi libat urus dengan 21 pemegang taruh selama 16 bulan, iaitu sejak ERC ditubuhkan pada Ogos 2018, yang merupakan sebahagian daripada agenda reformasi institusi pentadbiran PH.

Takiyuddin menjawab soalan Khoo berkenaan sama ada kerajaan akan menerbitkan laporan akhir ERC kepada ahli Parlimen dan untuk orang awam.

Lihat Komen
ADS