Pegawai polis berpangkat DCP dan seorang inspektor mempunyai wang simpanan berjumlah RM1 juta adalah antara 29 anggota keselamatan yang disiasat kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian Addy Kana dan Alvin Goh.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Zamri Yahya berkata siasatan pihaknya menjurus kepada anggota dan pegawai yang memiliki nilai aset luar biasa berbanding jawatan serta gaji mereka, sejarah perjalanan ke luar negara tanpa kebenaran dan beberapa aspek lagi.
“Kertas siasatan terhadap kesemua pegawai dan anggota ini dijangka dilengkapkan bulan depan untuk dikemukakan kepada pihak atasan bagi tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Selangor di Shah Alam hari ini.
Pada majlis berkenaan, Timbalan Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Selangor berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Noor Azam Jamaludin yang akan bersara wajib esok.
Tambah Zamri, pada peringkat permulaan hanya empat pegawai dan anggota polis disiasat berkaitan pembabitan dalam sindiket berkenaan namun menerusi siasatan lanjut, kini seramai 29 warga pasukan keselamatan itu dipercayai terlibat.
Malah kata beliau, siasatan JIPS turut mengesan seorang inspektor mempunyai wang simpanan berjumlah kira-kira RM1 juta.
“Kami meminta pegawai ini menerangkan bagaimana dia mempunyai wang simpanan sebegini banyak.
"Antara jawapannya ialah melalui saham dan pemberian daripada bapanya. Bagaimanapun kami akan melakukan siasatan lanjut,” katanya.
Tambah Zamri, kesemua mereka disiasat mengikut Peraturan Perkhidmatan Awam 1993.
Sebelum ini, media melaporkan Goh - atau nama sebenarnya Goh Leong Yeong - dan Addy Kanna - atau Zaidi Kanapiah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2 dan 3 Okt lalu kerana menjalankan aktiviti penipuan Macau Scam dan judi dalam talian yang menyasarkan mangsa di China serta bekerjasama dengan kartel penipuan di luar negara.
SPRM turut menahan serta menyoal siasat beberapa selebriti terkenal selain pegawai dan anggota polis yang melindungi sindiket terbabit.
Pada awal bulan ini, Addy Kanna dan Goh serta dua anggota polis dikenakan perintah tahanan selama dua tahun mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Poca).
Kesemua mereka ditempatkan di Pusat Pemulihan Khas (PPK) Simpang Renggam, Johor; PPK Pokok Sena di Kedah dan PPK Bentong, Pahang.
- Bernama
