Menteri: PDRM akan beri kerjasama jika India buat laporan rasmi terhadap Zakir
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia bekerjasama sekiranya terdapat laporan rasmi daripada pihak penguatkuasa India berhubung kes penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik, yang dikatakan terlibat dalam rancangan serangan pengganas di negara itu.
Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi.
“Kalau sesuatu keluar di (media) luar negara, kita PDRM memang akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang daripada semua negara, maka kalau ada sesuatu yang diperlukan mereka sudah tentu kita akan lakukan secara rasmi.
“Buat masa ini belum ada apa-apa laporan rasmi dari mereka dan selepas kita terima laporan ini, ini akan pastikan ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya ketika menggulung perbahasan rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Hamzah berkata demikian bagi menjawab perbahasan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), yang mempersoalkan usaha kementerian bagi memastikan peranan Zakir dalam perkara itu susulan laporan media antarabangsa berhubung dakwaan mengairkan pendakwa berkenaan.
Pada 12 Dis lalu, satu laporan media antarabangsa mendakwa badan perisikan India memintas transaksi kewangan penting yang dikaitkan dengan Zakir.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menjelaskan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung kes itu lagi.

