Pak Lah mahu baiki cara beliau berkerja
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu membaiki cara kerja bagi menghilangkan tanggapan serong terhadapnya yang kini dianggap sebagai bersikap "keras".
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu membaiki cara kerja bagi menghilangkan tanggapan serong terhadapnya yang kini dianggap sebagai bersikap "keras".
"Dulu ada yang kata saya lembik, la ni kata saya keras. Dulu saya nice dan sekarang not nice anymore ," katanya ketika berucap dalam perhimpunan bersama kakitangan kerajaan di Alor Setar pagi tadi.
Sambil menyatakan azamnya untuk menghilangkan tanggapan tidak betul terhadap dirinya, Abdullah juga menegaskan mahu memastikan semua keputusan yang kita buatnya adil bagi semua pihak.
Perdana Menteri juga mahu pegawai awam bersikap tegas dan berhemah dalam melaksanakan keputusan yang telah dicapai supaya tidak menyinggung perasaan pihak lain.
Menurut laporan Bernama, beliau juga menasihatkan kakitangan awam tidak bercakap kasar atau dengan nada yang kuat kerana ini akan membuatkan orang meluat dengan cara mereka bekerja.
"Tak perlu tepuk meja sampai pecah. Cakap dengan nada yang betul asalkan jangan cakap dengan orang pekak. Kalau cakap kasar, nanti orang meluat," katanya.
Abdullah yang mengibaratkan kerajaan sebagai sebuah pasukan bolasepak mahu kakitangan awam tidak mengamalkan sikap gemar "memperlekehkan rakan", sebaliknya perlu memupuk budaya kerja berpasukan dan saling bekerjasama dalam usaha membangunkan negara.
Katanya, tanggungjawab memajukan sesuatu perkhidmatan sama seperti sebuah pasukan bola sepak, semua pemain perlu bekerjasama dan tidak mengganggap peranan rakan sepasukan sebagai tidak penting.
"Dalam permainan bola sepak, matlamat kita ialah hendak menjaringkan gol. Janganlah rebut bola dari kaki kawan pula. Itu fahamlah kan..," ujarnya.
Menurut Abdullah lagi sebagai anggota pasukan, kakitangan awam sepatutnya "melindungi" rakan seperjuangan dan bukan memperlekeh atau memburuk-burukkan mereka.
Sebagai contoh, katanya, jika ada kerja yang tertangguh akibat ketiadaan pegawai yang bertugas, rakan mereka boleh membantu menyelesaikan masalah itu tanpa membiarkan pelanggan menunggu lama.
"Janganlah kita asyik kata kat kawan dan perlekeh dia kata kerja lambat sebab asyik cuti sakit dan sebagainya. Hari ini, kita kata kat kawan, esok kawan tu pula kata kat kita. Sampai bila cerita ini nak habis.
"Sepatutnya, kita kena tolong-menolong. Cover lah kawan macam main bola dan matlamatnya nak score goal. Tapi jangan rebut bola dari kaki kawan," katanya.

