Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Merakam alam dan perjuangan Orang Asli, ini kisah Nadhirah

Siapa sangka lukisan tumbuh-tumbuhan dapat memberi suara kepada mereka yang ‘tertindas’?

Minat seniman visual Syarifah Nadhirah Syed Abdul Rahman, 27, terhadap tumbuh -tumbuhan pada mulanya hanya untuk mengasah bakat seni lukis.

Namun minat itu bertukar menjadi usaha murni untuk merakam kearifan Orang Asli berkaitan tumbuh-tumbuhan dalam hutan warisan alam.

Melalui buku Recalling Forgotten Tastes (bawah), Nadhirah menceritakan kembali ilmu lima penduduk Orang Asli di dua negeri melalui anekdot dan lukisan cat air.

Sebanyak 32 lukisan tumbuh-tumbuhan dan makanan dilukis dengan medium cat air dan pen.

Anekdot ditulisnya menceritakan pengalaman meneroka hutan dan memahami budaya Orang Asli dengan lebih dekat.

Nadhirah membuat lawatan ke empat kampung Orang Asli sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Antara kampung dilawati adalah Kampung Batu 12 Gombak, Kampung Tohor Jelebu, Kampung Busut Baru dan Kampung Pulau Kempas.

Kampung Batu 12 tidak jauh daripada rumahnya di Taman Melawati, Gombak.

Lawatan yang bermula tahun lepas itu terbatas kerana Covid-19.

“Lawatan saya terbatas disebabkan PKP (perintah kawalan pergerakan). Tapi saya sudah mengenali komuniti Orang Asli di sana.

“Jadi sejurus PKP dihentikan, saya teruskan lawatan saya,” katanya.

Terharu pada sambutan

Kedatangannya ke kampung disambut baik malah suku Temuan dan Semai mengalu-alukan sesiapa yang ingin belajar tentang hutan mereka.

“Bila bercakap soal memahami budaya Orang Asli, bagi saya kita yang terdiri daripada golongan majoriti sangatlah terpisah dari budaya mereka. Kita memang tidak tahu langsung tentang budaya mereka ini.

“Saya ke sana untuk belajar tentang tumbuh-tumbuhan dan bagaimana hutan menjadi sebahagian besar identiti mereka.

“Jadi bila kedatangan saya dialu-alukan, saya rasa terharu,” tambahnya.

Menurutnya, pada mulanya dia hanya berniat untuk mengenali tumbuh-tumbuhan sahaja.

Namun dia terdorong merakamkannya dalam bentuk buku setelah mendapati hutan yang dilawatinya diancam pembangunan.

“Asalnya saya cuma mahu belajar tentang ekosistem hutan mereka. Tapi lama kelamaan, saya rasa penting untuk buku ini ditulis lebih daripada sekadar tentang hutan mereka.

“Saya ingin menceritakan kepada semua tentang kegigihan mereka menentang projek pemaju. Bukan setakat tentang tumbuh-tumbuhan dah.

“Saya nak cerita tentang latar belakang kehidupan mereka yang ramai tak ambil tahu.

“Cerita-cerita ini penting untuk saya tulis dalam buku ini. Supaya kita faham kenapa mereka bersusah payah nak selamatkan hutan mereka,” katanya.

Pembangunan kadangkala menyebabkan status hutan dinyahwarta, kata Nadhirah.

Isu nyahwarta

Menurut Nadhirah, penerokaan hutan bersama Orang Asli meninggalkan impak besar dalam kehidupan mereka.

“Sebagai seorang yang mempunyai kedudukan istimewa di negara ini, mungkin susah untuk kita faham budaya dan kepercayaan Orang Asli.

“Melalui buku ini, saya berharap kita dapat faham budaya mereka.

“Pelbagai cara untuk kita tunjuk solidariti dengan Orang Asli, bukan sahaja menerusi aktivisme. Buku ini saya harap akan jadi salah satu cara untuk kita faham kenapa mereka ingin perjuangkan hak mereka.

“Sudah tahun 2020 namun Orang Asli masih lagi ditindas dan hutan mereka dijadikan mainan politik. Ini tanggungjawab kita semua untuk mengubah kehidupan mereka dengan lebih baik,” kata graduan seni bina Universiti Islam Antarabangsa itu.

Katanya, isu seperti nyahwarta hutan simpan Kuala Langat menggusarkan penduduk kampung berdekatan.

“Mereka (Orang Asli) sedar tentang situasi mereka sekarang. Mereka memang berusaha keras menentang projek nyahwarta hutan simpan ini.

“Kalau kita ambil hutan mereka, ibarat kita rampas kepercayaan dan punca pendapatan mereka.

Katanya, ramai aktivis dan peguam bekerjasama untuk menentang projek nyahwarta hutan simpan, namun isu ini perlu perhatian lebih banyak daripada masyarakat.

“Bagi saya isu ini masih lagi dipandang remeh. Sepatutnya masyarakat dan media kita perlu lebih lantang menentang projek ini.

Nadhirah berharap usahanya untuk membantu komuniti Orang Asli tidak terhenti sekadar dengan buku ini sahaja.

“Perjuangan tak berhenti di sini. Saya nak ia menjadi proses yang berterusan.

“Saya juga harap dapat bekerjasama dengan lebih ramai pihak untuk memperjuangkan kisah komuniti Orang Asli ini.”

Kerajaan Selangor merancang untuk nyahwarta sebahagian besar hutan simpan Kuala Langat (Utara), melibatkan tanah 930.93 hektar (97.1 peratus) daripada hutan simpan seluas 958 hektar.

Februari lalu, Menteri Besar Amirudin Shari berkata ia merupakan hutan gambut yang telah merosot dan menimbulkan bahaya kebakaran di kawasan sekitarnya.

Amirudin Shari 

Dia menjelaskan rancangan pembangunan “projek campuran” di kawasan itu, termasuk pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dia memberi jaminan bahawa masyarakat Orang Asli tidak akan terjejas dan kehilangan hutan berkenaan akan digantikan dengan pewartaan kawasan baru sebagai hutan simpan.

Langkah itu bagaimanapun ditentang oleh kumpulan Orang Asli, aktivis alam sekitar dan beberapa pemimpin politik.

Dari belhau kepada keladi kemoyang

Sementara itu, melalui lawatan yang dijalankan, Nadhirah dapat mengenali suku Temuan dan Semai dengan lebih dekat.

Misalnya, dia belajar masakan suku Semai yang mengutamakan ulam-ulaman seperti belhau dan daun lerek dalam bahan masakan.

'Hayam masak dalam buluh', antara masakan orang Temuan

Suku Temuan pula, menurutnya, arif dalam ilmu perubatan tradisional dengan menggunakan keladi kemoyang dan jeangau untuk wanita dalam berpantang.

Nadhirah juga dinasihatkan oleh orang kampung supaya tidak mendedahkan lokasi “tumbuh-tumbuhan berharga”, seperti tongkat ali, dalam bukunya kerana gusar akan disasar pemburu haram.

“Mereka risau kalau ada yang nak ambil kesempatan. Tumbuh-tumbuhan ini sangat bernilai buat kehidupan mereka.

“Sebab itu mereka hanya ambil bila perlu, bukan macam kita yang akan ambil dalam kuantiti banyak.

Lihat Komen
ADS