Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengambilan vaksin penting dan menjadi langkah pencegahan yang dituntut mana-mana agama untuk mengelakkan penularan penyakit atau wabak seperti Covid-19 menjejaskan populasi manusia, kata pemimpin agama.

Mereka senada berpendapat, pengambilan vaksin itu adalah sifat yang dituntut dan dikategorikan sebagai amalan baik untuk menjaga kesihatan diri sendiri, orang sekeliling, masyarakat, dan negara.

Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah berkata pandemik Covid-19 itu berisiko tinggi membawa mudarat kepada orang Islam justeru langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak ia terus menular dan membahayakan.

“Seperti kita tahu, tiada lagi undang-undang khusus agar pengambilan vaksin (apabila ada di pasaran) itu jatuh sebagai hukum wajib. Jadi kita kena bergerak dalam rangka undang-undang.

"Vaksin itu harus, tapi digalakkan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai keperluan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Kalau penggambilan atau penggunaan vaksin itu tidak diutamakan, akan wujud kemungkinan hadirnya penyakit lain, yang dibimbangi akan membawa keseriusan atau masalah yang sama seperti Covid-19.

"Jadi apabila ada vaksin, ia akan membanteras perkara itu dari berlaku. Pencegahan dituntut dalam agama,” katanya kepada Bernama.

Penting dari sumber halal

Kerajaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-raja berhubung fatwa penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai hal itu telah dipersembahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja minggu lalu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pula dilaporkan berkata vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia, manakala warga asing akan dikenakan caj yang akan ditetapkan KKM.

Katanya pada masa yang sama kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengambilan vaksin itu sebaliknya hanya diberikan kepada mereka yang bersetuju untuk mengambilnya secara sukarela, terutama golongan berisiko dan mudah menghidapi penyakit.

Dr Luqman Abdullah

Mengulas lanjut, Luqman yang juga bekas pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berkata, perlu dipastikan juga sumber vaksin itu dari bahan yang halal dan diperakui KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), bagi mengelakkan berlakunya polemik berpanjangan.

“Kerana itu pentingnya saintis Muslim seluruh dunia menggerakkan usaha mencipta vaksin 100 peratus dari bahan atau sumber yang halal, agar tidak lagi menjadi pendebatan. Sumber yang halal itu penting kerana adalah perkara pokok yang akan menjadi buah mulut kita semua.

“Selain itu, perlu dipastikan juga ia tiada kesan sampingan atau negatif kepada penerima vaksin,” katanya.

Jelasnya, penerimaan vaksin dari sumber lain (tidak halal) dibenarkan mengikut kesesuaian dan keadaan tertentu sahaja, asalkan ia tidak menyimpang daripada syariat Islam yang jelas mementingkan maslahat manusia di dunia dan akhirat.

Jadikan dunia lebih selamat

Presiden Malaysia Hindu Sangam RS Mohan Shan berkata pengambilan vaksin itu mesti diambil dan perlu diutamakan kerana ia amalan yang baik untuk kesejahteraan hidup seseorang tanpa mengira agama, bangsa, dan negara.

“Ia adalah langkah yang penting untuk kesihatan. Manusia yang baik ialah orang yang tidak menyusahkan orang lain dan tidak mementingkan diri, malah berfikiran sebagai seorang yang rakyat yang pentingkan negara berbanding diri sendiri.

“Janganlah mati sia-sia disebabkan Covid-19. Kita perlu utamakan kesihatan dan pengambilan vaksin adalah langkah pencegahan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Dhammaduta Malaysia Sister Loh Pai Ling berkata menurut Buddha, amalan berbuat baik dan mengelak kejahatan itu penting.

Justeru katanya pengambilan vaksin yang memberi kesan yang baik untuk seseorang individu dan juga masyarakat adalah termasuk dalam amalan tersebut.

Jelasnya, ketika negara dan dunia sedang mengalami pandemik Covid-19, kehadiran vaksin mampu menjadikan dunia selamat, sihat dan stabil untuk didiami.

“Kita perlu ada niat yang suci murni dan tujuan yang baik untuk menjadikan negara atau dunia dengan komuniti yang selamat (aman bebas dari pandemik), sihat dan stabil, dapat dicapai dengan sempurna.

“Bagaimanapun mereka yang enggan menerima atau menolak pengambilan vaksin (atas apa jua alasan/sebab), mesti mengikut prosedur operasi standard, sama ada untuk diri mereka sendiri atau komuniti rapat yang mempunyai hubungan dengan mereka,” tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Gurdwara Malaysia Sardar Jagir Singh berkata dari segi agama Sikh, tiada larangan untuk pengambilan vaksin sebagai langkah untuk memelihara diri daripada ancaman Covid-19.

“Penting juga bagi masyarakat mengambil vaksin untuk keselamatan diri dan juga bagi kebaikan serta keselamatan masyarakat.

"Jika kita tak mahu mengambilnya maka kita akan mengancam diri sendiri dan mengancam keselamatan masyarakat dan keluarga,” tambahnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS