Tindakan menghalang Jabatan Peguam Negara (AGC) daripada mencabar sebarang kekaburan dalam perintah dikeluarkan mahkamah berhubung status tahanan rumah Najib Razak boleh mencabuli kedaulatan undang-undang.

Langkah itu juga, kata tiga NGO, akan menghakis keyakinan awam terhadap sistem demokrasi berparlimen negara.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama), Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center) dan Bersih berkata semua pihak perlu memberi ruang kepada proses perundangan sewajarnya merungkai segala kekaburan berhubung pelaksanaan tahanan rumah Najib.

Menurut mereka, AGC dilihat cukup berwaspada dalam mengenal pasti kekaburan atau kekhilafan serius dalam perintah mahkamah tinggi kelmarin kerana ia berpotensi mengakibatkan penamatan hukuman penjara Najib yang disabitkan bersalah dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC International).

"Sama ada kekaburan atau kekhilafan ini disengajakan atau tidak, ia telah melangkaui apa yang difahami oleh orang awam mengenai keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung tahanan di rumah terhadap Najib," menurut kenyataan itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Nov lalu mengeluarkan perintah pelepasan (order of discharge on payment of fine) terhadap Najib selepas wakilnya melunaskan denda RM50 juta yang ditetapkan.

Najib dipenjara selepas disabitkan bersalah atas semua tujuh pertuduhan terkait dana SCR International pada Julai 2020. Asalnya ahli politik berusia 73 tahun itu dihukum penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Bagaimanapun dia mendapat keringanan hukuman sebanyak dua kali, masing-masing pada 29 Jan 2024 dan 18 Sept lalu.

Pada 2024 hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun menjadi enam tahun, manakala denda pula diberi potongan RM160 juta menjadi hanya RM50 juta. Dalam keadaan begitu Najib sepatutnya hanya dibebaskan dari Penjara Kajang pada 23 Ogos 2028.

Jika denda RM50 juta tidak dijelaskan, Najib akan ditahan selama setahun lagi.

Perintah penjara satu lagi berkuat kuasa serta-merta

Pada Sept lalu pula, Yang di-Pertuan Agong sekarang, Sultan Ibrahim, memberikan pengampunan bersyarat untuk Najib.

Melalui mesyuarat lembaga pengampunan ke-64 itu baginda menetapkan Najib diizin menghabiskan tempoh penjara yang berbaki di rumahnya di Jalan Langgak Duta, di pinggir bandar raya Kuala Lumpur.

Bagaimanapun kelonggaran itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Pada Jumaat lalu Najib dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk ditahan dirumahnya selepas wakil bekas perdana menteri itu melunaskan denda tersebut, namun dia tidak sempat menjejakkan kaki ke rumahnya.

Hal itu kerana timbul keraguan pada perintah yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah.

AGC kemudian mengumumkan pelaksanaan tahanan di rumah itu perlu ditangguhkan sementara sehingga penelitian dan penjelasan lanjut diperoleh berhubung tafsiran perintah pengampunan bersyarat serta kesan perintah pelepasan berkenaan.

AGC membangkitkan dua kemungkinan tafsiran berhubung isu tersebut.

Pertama, pembayaran berkenaan hanya menyelesaikan komponen denda, manakala hukuman penjara dalam kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.

Dalam keadaan itu, tahanan di rumah merupakan kaedah alternatif untuk menjalani baki hukuman, bukannya bermaksud hukuman penjara sudah selesai.

Kedua, pembayaran denda itu mungkin merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, sekali gus menyebabkan keseluruhan hukuman dalam kes SRC International – termasuk penjara – dianggap selesai.

AGC berkata persoalan itu turut memberi kesan kepada pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun Najib dalam kes 1MDB-Tanore, yang sepatutnya bermula selepas hukuman dalam kes SRC International selesai.

Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB-Tanore ditolak mahkamah tinggi pada 14 Okt lalu.

Porjek Sama, Bersih dan C4 Center berkata sekiranya Najib memang dilepaskan secara tidak sah dalam kes SRC International, hukuman penjara 15 tahun terhadapnya dalam kes 1MDB-Tanore pula akan bermula serta-merta.

Kata mereka, sebarang percubaan untuk menghalang kekaburan atau kekhilafan perintah daripada dicabar di mahkamah – secara prinsipnya – mencabuli kedaulatan undang-undang.

“Ia sekali gus mengubah sifat asas Malaysia sebagai sebuah negara raja berperlembagaan yang berteraskan demokrasi berparlimen," kata NGO terbabit.

Ketiga-tiga organisasi itu berkata perbezaan tafsiran terhadap peruntukan perlembagaan dan undang-undang dalam kalangan pelbagai institusi adalah perkara biasa.

Tak wajar diberi tekanan

Justeru, mereka menegaskan badan kehakiman diperlukan untuk mentafsir undang-undang serta menyelesaikan pertikaian perundangan.

"Menafikan peluang AGC untuk mendapatkan jawapan atas kemusykilannya serta menghapuskan kekaburan melalui mahkamah bakal mencabuli kedaulatan undang-undang dan seterusnya menghakis keyakinan awam dan antarabangsa terhadap tatakelola yang baik serta ekonomi Malaysia," kata mereka.

Mereka turut menegaskan mana-mana individu atau institusi yang bertindak dengan niat baik tidak sepatutnya bimbang terhadap proses semakan kehakiman.

Mengulas lanjut, ketiga-tiga NGO itu berkata, sekiranya tahanan rumah terhadap Najib sah di sisi perlembagaan dan kukuh dari segi undang-undang, penangguhan singkat bagi menyelesaikan persoalan berbangkit akhirnya akan memberi kelebihan kepada bekas perdana menteri terbabit dari sudut pandangan awam.

Najib, tambah NGO itu, tidak sepatutnya tergesa-gesa dalam proses berkenaan sehingga menjejaskan kedaulatan undang-undang dan keyakinan orang ramai terhadap sistem demokrasi berparlimen.

Dalam perkembangan sama, mereka menggesa AGC mengumumkan pandangan bertulis peguam negara berhubung permohonan tahanan di rumah Najib.

"AGC tidak sepatutnya menerima tekanan politik mahupun dihukum kerana menjalankan peranan yang diamanahkan," katanya.

Mereka turut mengulangi gesaan supaya semua dokumen berkaitan pengampunan Najib didedahkan, termasuk hujah bertulis peguam negara, pendirian Menteri Wilayah Persekutuan, dan minit mesyuarat lembaga pengampunan.

"Berani kerana benar, takut kerana salah,” katanya.