Pemuda Perikatan Nasional (PN) menyeru kerajaan supaya memberi fokus sepenuhnya kepada pelaksanaan Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Ketuanya, Khairul Nizam Khirudin, berkata pandemik Covid-19 menuntut kerajaan PN memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif sosial untuk golongan B40 dan M40.

"Justeru, menuju tahun baru 2021 ini, Pemuda PN menyeru kerajaan dan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi fokus sepenuhnya kepada pelaksanaan Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

"Pemuda PN juga bertekad menjadi pemudah cara rakyat dalam memastikan pelaksanaan unjuran kerajaan dan inisiatif prihatin rakyat yang efektif dan holistik.

"Kami juga komited menjadi 'dhamir' rakyat untuk memastikan 'no one left behind' sekaligus merealiasikan Wawasan Kemakmuran Bersama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selasa lalu Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 selepas bacaan kali ketiga diputuskan menerusi undi belah bahagian menyaksikan 111 wakil rakyat menyokong, 108 menolak dan satu tidak hadir.

Keputusan itu sekali gus menggagalkan rancangan kumpulan tertentu untuk menolak RUU itu sekali gus membuka jalan kepada runtuhnya kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak berjaya.

Mengulas lanjut, Khairul Nizam berkata, Belanjawan 2021 adalah refleksi sikap keprihatinan kerajaan PN untuk menjamin kelangsungan hidup rakyat dan kemampanan ekonomi.

"Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang direncanakan untuk menyediakan 500,000 peluang pekerjaan baharu selain pelbagai program peningkatan kemahiran dengan perbelanjaan sebanyak RM3.7 bilion pastinya menggembirakan warga dari pelbagai lapisan masyarakat khususnya generasi muda," katanya lagi.