Anak-anak guna pelampung bawa bapa ke hospital
Lima beradik terpaksa menggunakan pelampung dan mengharung banjir sekitar tiga kilometer untuk membawa ayah mereka yang diserang asma ke sebuah hospital dalam kejadian di Kampung Kusar, Rantau Panjang, semalam.
Karmilah Ibrahim, 39, berkata ayahnya Ibrahim Daud, 61, diserang asma dan semakin teruk sejak dua hari lalu sekali gus memaksa mereka berusaha membawa warga emas itu dari kawasan kampung untuk menerima rawatan.
"Saya dan adik beradik berpakat untuk bawa ayah ke hospital dan mengharungi air yang pada paras 1.8 meter dan meminjam pelampung milik sepupu.
"Keadaan banjir ini menyebabkan kenderaan tidak boleh memasuki kawasan rumah kami. Alhamdulillah kami juga dibantu oleh agensi keselamatan untuk keluar dari kawasan banjir dan ayah dihantar ke hospital dengan selamat" katanya ketika ditemui media di Hospital Pasir Mas, hari ini.
Menurutnya, ayahnya baru keluar dari wad di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II akibat serangan asma dan mereka tidak menyangka penyakitnya itu menyerang lagi dalam masa terdekat.
"Ayah juga menghidap penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung, menyebabkan kami adik beradik berasa risau ditambah pula dengan situasi banjir yang masih tinggi ini.
"Ini kejadian kedua kami dibantu agensi keselamatan selepas turut dibantu pihak bomba semasa gelombang pertama, hujung November lalu, juga kerana kejadian sama dialami ayah.
"Alhamdulillah, kami sangat lega ketika anggota keselamatan tiba menghulurkan bantuan," kata Karmilah yang amat menghargai bantuan tersebut.

