mk-logo
Berita
Amanah bukan 'walaun' siapa-siapa
Diterbitkan:  Dec 25, 2020 11:11 AM
Dikemaskini: 4:20 AM

Parti Amanah Negara (Amanah) bukan 'walaun' kepada mana-mana pemimpin politik, kata timbalan presiden parti itu, Salahuddin Ayub.

Jelas Salahuddin, pendirian parti itu jelas iaitu mahu menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya telah mencuri mandat rakyat.

"Bila Amanah ditubuhkan, tiada 'dewa' dalam Amanah. Tiada 'warlod' (panglima politik) dalam Amanah.

"Saya jelaskan pendirian Amanah. Saya boleh tahu pemimpin Amanah yang paling komited dengan Pakatan Harapan (PH). Kita bukan nak jadi 'walaun' mana-mana.

"Saya bukan walaun (Presiden Amanah) Mohamad Sabu. Amanah bukan walaun siapa-siapa. Kita bukan walaun Tun (Dr Mahathir Mohamad), bukan 'walaun' (Presiden PKR) Anwar Ibrahim.

"Tapi kita mahu PH berdiri dan menumbangkan kerajaan tebuk atap yang jadi perompak dan penyamun kepada mandat rakyat," katanya ketika berucap di Konvensyen Pemuda Amanah, hari ini.

'Walaun' merupakan istilah yang sering digunakan dalam forum politik bagi merujuk pengikut setia kepada pemimpin tertentu.

Amanah ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 2015 oleh sekumpulan bekas pemimpin PAS.

Pembangkang dilihat terumbang-ambing selepas gagal menewaskan PN dalam undian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Mohamad dalam kenyataan bersama sebelum ini menyeru pembangkang untuk tidak berharap pada pemimpin PN untuk mengambil alih semula kerajaan.

Mereka sebaliknya menyeru PH mencari persamaan dalam kalangan pembangkang untuk mengembalikan mandat yang mereka peroleh dalam pilihan raya umum lalu.

Kenyataan kedua-dua pemimpin utama parti komponen PH itu menimbulkan tanggapan bahawa ia sebagai bayangan untuk menjemput semula Mahathir ke dalam PH.

Pada masa sama, Warisan mendesak perubahan kepemimpinan dalam pembangkang.

Bagaimanapun, PKR menegaskan bahawa Anwar akan dapat memperoleh jumlah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan baru.

Dalam ucapannya hari ini, Salahuddin berkata Amanah itu tidak pernah sama sekali berniat untuk mengenepikan Anwar.

"Tak ada niat pun (Amanah) nak ketepikan Anwar seperti yang difitnah hari-hari.

"Hari ini kita buat penjelasan, ini adalah pendirian rasmi kita," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS