Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Perak pertahan pelantikan Adun pembawa usul percaya pada Peja
Diterbitkan:  Dec 28, 2020 2:42 PM
Dikemaskini: 6:42 AM

Wakil rakyat yang membawa usul undi percaya sehingga menyebabkan Adun Chenderiang Ahmad Faizal Azumu tersingkir daripada jawatannya sebagai menteri besar kini dilantik sebagai penasihat khas menteri besar baru Perak.

Adun Pengkalan Baru, Abd Manaf Hashim, kini berkhidmat sebagai penasihat khas kepada Menteri Besar Saarani Mohammad, dengan jawatannya bertaraf exco kerajaan negeri.

Mempertahankan pelantikan itu Saarani berkata, sebaliknya pemilihan Abd Manaf dibuat bukanlah sebagai imbuhan kerana memulakan proses mengetepikan Ahmad Faizal.

Sebaliknya kata Saarani ia dibuat berdasarkan kelayakan Abd Manaf sendiri.

"(Pelantikan) ini bukan imbuhan, kita tidak menjanjikan apa-apa. Tidak terlintas sama sekali bab itu.

"Kita memilih beliau sebagai antara Adun yang senior, kita yakin pada kebolehan beliau maka beliau ambil tempat itu. Tak ada imbuhan, bukan berjanji apa-apa, tak ada," katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.

Abd Manaf merupakan Adun Umno yang membawa usul undi percaya kepada Ahmad Faizal yang kemudian menyaksikan timbalan presiden Bersatu itu akhirnya gagal mendapat sokongan untuk kekal sebagai menteri besar Perak.

Ekoran undian dalam DUN Perak itu Ahmad Faizal kemudian melepaskan jawatannya sebelum Saarani dipilih menggantikannya.

Isu itu bagaimanapun sempat menyaksikan Saarani perlu menunggu lebih lama untuk mendapatkan sokongan majoriti sebelum mengangkat sumpah sebagai menteri besar.

Ia juga menyaksikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang memohon menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, sebelum dua Adun parti itu dilantik menjadi exco.

Saarani berkata sebelum ini memang ada jawatan penasihat khas menteri besar untuk Ahmad Faizal dan ia diisi Adun Sungai Manik Zainol Fadzi Paharudin.

Bagaimanapun dengan pertukaran jawatan menteri besar Zainol Fadzi - Adun Umno yang kemudian menyertai Bersatu - juga berundur dan meninggalkan kekosongan pada jawatan tersebut.

Justeru kata Saarani dia hanya mengisi kekosongan yang ditinggalkan itu dengan melantik Abd Manaf.

"Tempat itu dikosongkan oleh Zainol Fadzil, jadi saya perlu isi. Apabila nak isi mestilah orang yang pada pendapat kita layak dan antara kriterianya, pertama senior dan berpengalaman dalam bidang korporat kerana beliau dahulunya adalah ahli Lembaga Pengarah TNB (Tenaga Nasional Bhd).

"Jadi berdasarkan pengalaman itu kita lantik beliau," katanya.

Lihat Komen
ADS