Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu empat negeri yang belum menguatkuasakan undang-undang menyekat penganut agama lain menyebarkan agama mereka kepada umat Islam supaya menggubal undang-undang menyekat penganut agama lain menyebarkan agama mereka kepada umat Islam.

Negeri-negeri berkenaan ialah Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri berkata negeri-negeri berkenaan perlu memikirkan tentang perkara itu dan mengambil tindakan yang perlu agar hubungan baik antara kaum di negara ini terpelihara.

"Bagi negeri-negeri yang belum (gubal undang-undang itu) mestilah fikirkan tentang perkara ini. Ambil apa-apa tindakan yang perlu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan rakyat dan penyerahan bantuan peralihan penanam tembakau, di Bachok, Kelantan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai empat negeri, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang belum menggubal undang-undang untuk menyekat penganut agama lain menyebarkan agama mereka kepada umat Islam.

Menurut laporan Bernama, Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan "Undang-undang negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang Persekutuan boleh mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama untuk orang yang menganuti agama Islam".

Perdana Menteri berkata beliau sentiasa mengingatkan agar soal agama tidak diungkit-ungkit kerana jika ia dibiar berterusan, boleh mencetuskan perbalahan.

"Saya sentiasa nyatakan tak usahlah timbulkan perkara itu. Ini timbul sini, timbul sana, jadi berbalas-balas. Kalau ambil sikap ini (tidak ungkit) barulah agama (Islam) ada status quo. Tapi kalau ungkit-ungkit apa akan jadi? Satu perbalahan."

Muafakat bersama

Beliau berkata bukan mudah untuk menyelesaikan perkara berkaitan agama atau melibatkan hubungan antara kaum kerana masing-masing akan bersikap emosional sehingga sampai ke tahap bergaduh.

"Kita tidak mahu begitu sampai bergaduh," katanya.

Beliau berkata kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi telah dipersetujui pemimpin negara sejak dari dahulu lagi dan hasil muafakat antara kaum telah membolehkan rakyat hidup dalam keadaan baik.

"Ini telah menjadi satu muafakat yang dibuat awal-awal lagi di kalangan pemimpin yang telahpun mencapai kemerdekaan negara. Semua undang-undang atau Perlembagaan negara telah difikirkan bersama.

"Maka telah diputuskan pelbagai perkara yang mereka harap nanti tak akan menjadi masalah dalam hubungan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Itu harapan mereka. Mereka fikir semua itu masa itu.

"Jadi setelah ambil kira semua itu, mereka letak dalam Perlembagaan apa yang merupakan hasil muafakat itu. Muafakat daripada orang tua-tua kita dulu yang bijaksana mestilah kita patuhi," kata Abdullah.

Perdana Menteri berkata negara lain turut kagum dengan apa yang dinikmati rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.

Ini kerana, katanya, rakyat di negara lain tidak dapat merasai hubungan kaum yang baik sepertimana di Malaysia