Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pak cik Mukhlis berjalan 400km demi bantu kanak-kanak pesakit kanser

Berjalan sejauh 400km untuk membantu golongan memerlukan mungkin sukar bagi ramai orang, namun bagi Mukhlis Ilyas, 57 hanya itu sumbangan yang mampu diberikan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mukhlis meminta wartawan menunggu di talian sementara dia mencari tempat berehat kerana sedang berjalan ketika itu.

Meskipun didengar menghela nafas kepenatan, suara warga emas itu tetap ceria menceritakan tujuan utamanya membuat ekspedisi perjalanan sejauh itu.

“Saya sudah bermula berjalan dari 24 Disember lalu di Desaru (di Johor) dan kini saya sudah sampai di Mersing pada hari kelima. Selepas ini saya akan terus berjalan menuju ke Kuala Rompin, seterusnya ke Pekan Pahang dan dijangka tiba di Kuantan Pahang pada 31 Disember.

“Saya hanya berkempen bagi bantu kanak-kanak pesakit kanser menerusi NGO Kids (Kumpulan Ibu-Bapa dan Sokongan Anak Kanser). Saya bukan ahli NGO cuma terpanggil untuk membantu mereka,” katanya.

Sementara itu, Mukhlis turut menceritakan antara cabaran dihadapi seperti cuaca yang terlalu panas dan terjumpa binatang liar seperti ular dan kucing hutan.

“Dan sekarang ini, kaki saya melecet teruk dan agak sukar untuk berjalan. Fizikal saya Alhamdulliah semua okay,” katanya lagi.

Tambahnya, terdapat ramai orang awam yang menghulurkan bantuan ketika melihatnya berjalan kaki.

“Ramai sangat yang turun dari kereta kalau lihat saya berjalan kaki. Ada kasi biskut, air, dan duit.

“Saya sebenarnya tak nak ambil duit, tetapi mereka tetap paksa. Nanti saya berikan dekat NGO itu nanti. Ini pun sudah ada lebih RM300,” katanya ketawa kecil.

Kata Mukhlis lagi, dia juga tidak menginap di hotel atau chalet, sebaliknya membawa khemah dan beg tidur (sleeping bag) serta satu troli berwarna merah kuning berisi peralatan asas.

“Ada beberapa biskut dan barang-barang penting macam ubat-ubatan, tetapi kalau nak makan, saya akan jalan dan jika jumpa warung, saya akan berehat di sana dan makan.

“Mandi juga kalau jumpa pantai atau tandas awam, saya akan mandi di sana. Tiada masalah untuk saya,” katanya dengan nada ceria dan tidak mengeluh atas kesukaran yang dihadapinya.

NGO Kids merupakan sebuah organisasi yang ditubuhkan bagi membantu kanak-kanak pesakit kanser.

Misi organisasi tersebut adalah untuk mengumpul dana bagi membantu membeli keperluan asas bagi pesakit yang kurang berkemampuan.

Perjalanan warga emas itu mula menjadi bualan orang ramai selepas NGO tersebut serta Mukhlis sendiri memuat naik gambar dan video progres perjalanannya.

Rancangan awal nak jalan dari Mekah ke Madinah

Mukhlis mendedahkan bahawa dia dan beberapa inividu lain pada awalnya merancang untuk berjalan dari Mekah ke Madinah ketika melakukan umrah bagi membantu golongan tidak bernasib baik.

“Rancangan awal secara terperinci, kami ingin berjalan dari Mekah ke Madinah ketika membuat umrah, sambil itu berkempen untuk pesakit kanak-kanak kanser ini yang sepatutnya berlangsung bulan lalu.

“Saya juga sudah berlatih dari November lepas untuk berjalan sebab kita perlu tahu beberapa teknik untuk melakukan perjalanan jauh itu. Tetapi memandangkan keadaan Covid-19, kami buat keputusan untuk tangguhkan dulu rancangan awal dan melakukan di dalam Malaysia dulu.

"Jadi kira saya membantu NGO mereka dan jadikan perjalanan dalam Malaysia ini satu latihan untuk ekspedisi perjalanan di Mekah nanti,” katanya lagi.

Selain itu, Mukhlis turut berkata dia ingin memanfaatkan sisa hidupnya untuk membantu golongan memerlukan.

“Saya sebenarnya sudah berhenti kerja lepas umur 50 tahun, saya memang nak habiskan sisa hidup saya untuk bantu semua pihak yang memerlukan.

“Tetapi saya minta maaf. Saya tiada harta, tiada duit, cuma ada kaki untuk wakafkan buat bantu kanak-kanak (pesakit kanser) atau mana-mana yang memerlukan. Jadi saya berjalan,” katanya.

Penderma boleh menghulurkan bantuan di nombor akaun tertera di halaman Facebook NGO Kids.

Pengguna luar negara pula boleh menggunakan platform atas talian ini.

Lihat Komen
ADS