Malaysiakini
BERITA

Bapa didakwa lakukan amang seksual terhadap 2 anak kandung

N Faizal Ghazali

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Dis 2020, 6:18 pagi

Seorang bapa berdepan tiga pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua anak kandungnya.

Tertuduh berumur 39 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicara di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Dalam pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin, tertuduh pada 1 Disember 2020 kira-kira jam 5 petang di Kampung Pangkal Kuang, Machang, didakwa dengan maksud seksual menggeselkan kemaluan ke badan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang juga anak kandungnya.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa memasukan tangan ke dalam seluar mangsa pada 2 November 2020 kira-kira jam 11 malam terhadap anak perempuannya itu.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 dan dibacakan bersama Seksyen 16 akta yang sama, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Dalam pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandung berusia 14 tahun pada Februari 2019 lebih kurang jam 5.30 petang di Kampung Pangkal Kuang, Machang.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 dan dibacakan bersama Seksyen 16 akta yang sama, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh yang diwakil peguam bela Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar memohon jaminan diberikan, mahkamah bagaimanapun menetapkan tiada jaminan diberikan dan menetapkan tarikh 31 Januari untuk sebutan semula kes.

Tertuduh, yang bekerja kampung, hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja T watak komik Jepun Onepiece dan kelihatan tenang ketika prosiding.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.