Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1,870 kes, lapan kluster baru, Johor negeri tertinggi
Diterbitkan:  Dec 30, 2020 6:38 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Kes baru penularan wabak Covid-19 terus berada pada empat angka hari ini dengan 1,870 kes berbanding 1,925 kes yang dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 110,485 dengan kes aktif sebanyak 22,562.

Buat kali pertama, Johor mendahului negeri-negeri lain dengan 607 kes atau 32.5 peratus daripada semua kes baru, hari ini.

“Peningkatan kes di Johor dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Choh yang melaporkan sebanyak 374 kes atau 61.6 peratus daripada jumlah kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 472 kes (25.2 peratus), Sabah pula 280 (15 peratus) dan Kuala Lumpur sebanyak 219 kes.

Negeri-negeri lain adalah seperti berikut:- Pulau Pinang (69), Kelantan (56), Perak (48), Pahang (48), Negeri Sembilan (34), Kedah (23), Terengganu (2), Labuan (2), Sarawak (1) dan Putrajaya (1).

Hanya Perlis yang tidak mempunyai sebarang kes.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan medianya juga memaklumkan bahawa terdapat lapan kluster baru telah dikenal pasti pada hari ini.

Kluster itu adalah seperti berikut:

  • Kluster Tembok Choh - Kluster ini melibatkan daerah Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi, Kulai,dan Mersing di Johor.
  • Kluster tapak bina Broga - ini pula adalah kluster tempat kerja yang melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor.
  • Kluster tapak bina Jalan Stesen - Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • Kluster Slot Berjaya - Ini juga adalah kluster tempat kerja di daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • Kluster Jalan Nikolas - Ini pula adalah kluster di daerah Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • Kluster Gerbang Pongsu - Kluster ini melibatkan daerah Kerian dan Kinta di Perak.
  • Kluster Damai Ketari - Ini melibatkan daerah Bentong di Pahang.
  • Kluster Alor - Kluster ini melibatkan daerah Kota Setar di Kedah serta daerah Titiwangsa dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 283 kluster termasuk lima kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster tapak bina Sungai Mulia, kluster Assumption, kluster Blok 31, kluster Tanjung Bunga, dan kluster Jeri.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 223 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 53 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini,” katanya.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah kluster Tembok Choh (374 kes), kluster Tampoi Jaya (138 kes), dan kluster Beringin (61 kes).

Sementara itu, daripada keseluruhan 1,870 kes baru hari ini, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 745 kes pulih Covid-19. Dengan perkembangan itu, katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 87,460 atau 79.2 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 131 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan enam kes kematian berkaitan Covid-19," katanya.

Lima mangsa adalah warga negara dan seorang lagi bukan warga negara.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 457 kes atau 0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Lihat Komen
ADS