Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KATA MP | Penamatan inisiatif diskaun Xtra 20 merugikan

KATA MP | Seperti yang dimaklumkan Keretapi Tanah Melayu (M) Bhd (KTMB), pada 31 Dis 2020 menandakan penamatan Inisiatif Diskaun Tambang Komuter Xtra 20 (Xtra 20).

Saya berpendapat bahawa penamatan ini adalah kerugian yang akan membebankan rakyat serta KTMB sendiri.

Seperti yang diumumkan mantan timbalan perdana menteri Malaysia, Dr Wan Azizah Wan Ismail, pelaksanaan diskaun 20 peratus ini adalah langkah mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Inisiatif ini diperkenalkan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) hasil maklum balas serta pandangan pelbagai pihak sebelum ianya dilaksanakan.

Selain itu, inisiatif yang diperkenalkan pada Mac 2019 itu juga merupakan senjata serampang dua mata. Selain membantu rakyat kebanyakan, secara tidak langsung ia turut membantu meningkatkan kadar pengguna KTMB yang tidak konsisten.

Mantan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan KTMB mengalami pengurangan bilangan penumpang yang kritikal mulai 2016 sehingga 2019.

Penurunan drastik bilangan penumpang sehingga 32 juta setahun pada 2019 berbanding 50 juta setahun pada 2015 berlaku atas beberapa faktor.

Antaranya kualiti perkhidmatan, persaingan dengan kemudahan awam lain dan harga tiket.

Semasa di parlimen saya telah bangkitkan persoalan mengenai status kewangan KTMB yang menuntut untuk kerajaan berbelanja besar bagi memperkasakannya.

Dengan peruntukan dalam Belanjawan 2021 yang memakan ratusan juta ringgit, saya menganggap penamatan inisiatif diskaun Xtra 20 ini adalah langkah ke belakang yang boleh menggugat prestasi KTMB sendiri.

Justeru saya mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) agar meneliti semula penamatan inisiatif berkenaan. Sebaliknya jika mahu diteruskan juga MOT wajar mencari kaedah lain agar sebuah inisiatif baru dapat diperkenalkan bagi mengurangkan beban rakyat yang menggunakan perkhidmatan KTMB.


SYED IBRAHIM SYED NOH ialah ahli parlimen Ledang merangkap jurucakap telekomunikasi, digital dan pengangkutan PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS