Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu tunggu keputusan MT Umno isu penolakan kerjasama

Pimpinan Tertinggi Bersatu mengambil pendekatan tunggu dan lihat keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno berhubung gesaan Umno bahagian yang menyuarakan penolakan kerjasama dengan Bersatu untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Tidak terkejut dengan perkembangan berkenaan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman memberitahu setakat ini Bersatu masih belum ada mesyuarat bagi membincangkan perkara itu.

"Setakat ini Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu belum bermesyuarat untuk membincangkan hala tuju politik andai Umno berkeras mahu memutuskan kerjasama atau meruntuhkan kerajaan PN.

"Kami masih tunggu dan lihat keputusan rasmi dari mesyuarat MT Umno nanti," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai tindakan Bersatu selepas majoriti bahagian Umno menolak kerjasama bersama parti mereka.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sebanyak 189 daripada 191 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU ke-15.

Muhammad Faiz berpendapat lebih baik sekiranya rakyat menilai sendiri sikap para pemimpin Umno yang disifatkannya sebagai "banyak berdrama politik" sejak tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas perkembangan lain, Muhammad Faiz menyentuh isu dakwaan akuan bersumpah menyokong Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan tindakan enggan mendaftarkan Muafakat Nasional.

"Yang pasti kami dan juga rakan-rakan PN seperti PAS telah menghulur tangan perpaduan ummah yang akhirnya berjaya memendekkan kekuasaan DAP dan puak ultra liberal di Putrajaya.

"Namun, ia telah dibalas dengan angkuh, fitnah serta ugutan oleh pihak yang telah pun tersungkur diajar rakyat dalam PRU lalu," katanya sambil memuji beberapa pemimpin Umno seperti Annuar Musa, Shahidan Kassim dan Ismail Sabri.

Muhyiddin ada rancangan sendiri

Sementara itu, pemimpin Bersatu Johor, yang juga bekas pengerusi Umno dan bekas menteri besar negeri itu, Mazlan Bujang pula berkata dia yakin bahawa presiden partinya, Muhyiddin Yassin mempunyai rancangannya sendiri.

Melihat dari aspek Bersatu Johor, Mazlan secara peribadi berpendapat dia menghormati apa sahaja keputusan Umno.

“Itu hak parti masing-masing. Sebagai org politik, saya menghormati keputusan. Inilah demokrasi dalam dunia,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya lagi, sebagai orang politik, pimpinan Bersatu serta Muhyiddin perlu berlapang dada.

"Dalam politik ni kena ada rancangan A, rancangan B… Tapi tak boleh mengharapkan satu. Dan takkan orang politik ni kalau orang tak nakkan kita, kita nak nangis, duduk hentak kaki,” katanya.

Lihat Komen
ADS