Ahli parlimen PH di KL mahu jawapan Annuar
Sembilan ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur hari ini mendesak Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa supaya menjawab segera bantahan mereka mengenai cadangan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Wilayah Persekutuan .
Dalam kenyataan bersama hari ini, lima anggota Parlimen DAP dan empat dari PKR itu berkata mereka telah menulis surat bantahan itu kepada Annuar pada 7 Disember lalu, bagaimanapun sehingga hari ini masih belum berjawab.
"Kami telah mengemukakan beberapa bantahan berkenaan Terma Rujukan (TOR) dan Aturan Mesyuarat JaKoWIP, serta memohon diadakan satu pertemuan khusus dengan Menteri bagi membincangkan Belanjawan DBKL dan Kementerian Wilayah 2021 serta terma-terma JaKoWIP.
“Kami menggesa menteri segera memberi respons berkenaan surat tersebut dan memanggil satu mesyuarat khusus bersama Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada kadar segera sebelum mesyuarat pertama JaKoWIP diadakan,” menurut mereka.
Menurut wakil rakyat berkenaan, JaKoWIP adalah jawatankuasa yang dirangka oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai pengganti kepada format Majlis Menteri Wilayah yang wujud semasa pentadbiran PH.
Sembilan anggota Parlimen berkenaan adalah Tan Kok Wai (Cheras), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Teresa Kok (Seputeh), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Hannah Yeoh (Segambut), P Prabakaran (Batu) dan Lim Lip Eng (Kepong).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun (Titiwangsa) dan Timbalan Menteri Luar Negeri Kamaruddin Jaafar (Bandar Tun Razak) mengadakan pertemuan dengan dua anggota parlimen PN dari Kuala Lumpur.
Dua wakil rakyatnya yang lain di Wilayah Persekutuan - Ahli Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor - dan Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli - juga akan menjadi ahli jawatankuasa perundingan berkenaan.

