Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) mengenakan kompaun terhadap individu yang membuang beg plastik ke sungai selepas video perbuatan itu tular di media sosial.

Setiausaha MDTM Fiesal Abdullah berkata, pihaknya juga membuat siasatan dan menemui individu berkenaan.

"Mereka menyatakan objek yang dibuang itu merupakan saka selepas menjalini rawatan secara tradisional.

"Bagaimanapun kita tetap mengambil tindakan atas kesalahan membuang sampah ke sungai. Kompaun dikeluarkan kepada wanita tersebut," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, video seorang wanita yang membuang sampah ke dalam sungai menerusi tingkap kereta di sebuah jambatan di Tanah Merah, Kelantan, tular di media sosial.

Ia mengundang kecaman daripada netizen selain mendapat perhatian Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan juga mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan itu.

JPJ Kelantan berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis temu siasat mengikut seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada individu itu.

"Membuang sampah daripada kenderaan bermotor adalah satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Kaedah 52 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

"Jika disabitkan kesalahan, hukuman boleh dikenakan terhadap pelaku mengikut seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

"Jika sabitan kesalahan kedua didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjara tidak melebihi dua bulan penjara atau kedua-duanya," kata JPJ Kelantan dalam kenyataan.