Rekod 2,593 kes, 13 kluster baru, 4 kematian
Malaysia merekodkan kes harian baru Covid-19 tertinggi sejak pandemik itu melanda negara dengan 2,593 kes hari ini. Sebelum ini, jangkitan kes baru tertinggi adalah pada 26 Disember tahun lalu dengan 2,335 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu sekali gus menyaksikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini berada pada 24,347 kes manakala jumlah keseluruhan pada 125,438.
Selangor terus mencatatkan jumlah tertinggi iaitu pada 965 kes atau 37.2 peratus daripada jumlah kes hari ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 894 kes atau 92.6 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
Ini diikuti oleh Johor sebanyak 571 kes (22.0 peratus) dan Sabah sebanyak 405 kes (15.6 peratus)
Negeri-negeri lain adalah seperti berikut:- Kuala Lumpur (265), Negeri Sembilan (125), Pulau Pinang (77), Kelantan (43), Kedah (42), Perak (34), Terengganu (19), Melaka (13), Pahang (11), Putrajaya (9), Labuan (9) dan Sarawak (5).
Hanya Perlis yang tidak mempunyai sebarang kes.
Dr Noor Hisham dalam kenyataan medianya juga memaklumkan bahawa terdapat 13 kluster baru telah dikenal pasti pada hari ini.
Kluster itu adalah seperti berikut:
- Kluster Dataran Utas - Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Petaling di Selangor.
- Kluster Casa Permai - Ini pula adalah kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Petaling di Selangor.
- Kluster Medan Jasa - Kluster ini melibatkan daerah Petaling di Selangor; daerah Kuala Kangsar di Perak; dan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
- Kluster Tasik Utama - Ini melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan dan daerah Hulu Langat di Selangor.
- Kluster Firma - Ini pula kluster tempat kerja di daerah Johor Bahru di Johor.
- Kluster Persiaran Teknologi - Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kulai di Johor.
- Kluster Bersepadu - Ini juga adalah kluster tempat kerja yang melibatkan daerah Kota Tinggi di Johor.
- Kluster Jalan Padu - Juga adalah kluster tempat kerja di daerah Johor Bahru di Johor.
- Kluster Kampung Pitas - Ini adalah kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kalabakan dan Tawau di Sabah.
- Kluster Ikan Emas - Ini adalah kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
- Kluster Kayuh - Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Titiwangsa, Kepong, dan Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
- Kluster Jalan Seputeh Ini juga adalah kluster tempat kerja di daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
- Kluster Anak Air- Ia melibatkan daerah Melaka Tengah dan Jasin di Melaka.
“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 309 kluster, termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Kobena, kluster Mengketil, dan kluster UD SS2.
“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 252 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 62 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah kluster Seri Lanang (504 kes), kluster Bukit Pasir (283 kes), dan kluster Teratai (85 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, daripada keseluruhan 2,593 kes baru hari ini, terdapat empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 1,129 kes pulih Covid-19. Dengan perkembangan itu, katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 100,578 atau 80.2 peratus.
“Sehingga kini, terdapat 141 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 67 kes memerlukan bantuan pernafasan.
"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19," katanya.
Semua mangsa adalah warga negara dengan dua daripada mereka meninggal dunia di hospital di Sabah, manakala seorang di Selangor dan seorang lagi di Kuala Lumpur.
Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 513 kes atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.


