Perhimpunan agung Umno November ini dijangka panas
Perhimpunan agung Umno pada November ini dijangka 'panas' dengan isu perpaduan parti dan kehadiran bekas Presidennya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perhimpunan agung Umno pada November ini dijangka 'panas' dengan isu perpaduan parti dan kehadiran bekas Presidennya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Isu perpaduan dijangka menjadi agenda utama kerana parti itu dikatakan 'berpecah' dua kebelakangan ini selepas Dr Mahathir mengkritik secara terbuka kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Azimi Daim berkata, perhimpunan itu akan berlangsung selama lima hari di Pusat Dagangan Dunia Putra dari 13 hingga 17 November ini.
Beliau berkata, antara isu yang akan disentuh termasuklah kritikan Dr Mahathir terhadap Umno khususnya kepimpinan Abdullah.
"Seramai 2,200 perwakilan termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri akan mengambil bahagian dalam perhimpunan agung tahun ini," katanya.
Seperti biasa, perwakilan akan membentang dan membahaskan usul membabitkan usul agama, pendidikan, ekonomi dan politik dalam perhimpunan selama lima hari itu.
Perhimpunan kali ini adalah yang paling lama kerana sebelum ini ia diadakan selama empat hari sahaja.
Jawatankuasa Usul yang dipengerusikan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan bermesyuarat untuk menentukan usul yang akan dibincang dalam perhimpunan agung Umno kelak.
Perhimpunan kali ini juga dijangka panas andainya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir terpilih sebagai salah seorang perwakilan bahagian Kubang Pasu.
Semalam Dr. Mahathir mengesahkan beliau akan bertanding sebagai perwakilan untuk ke perhimpunan agung itu.

