Malaysiakini
BERITA

Loke nafi jumpa pemimpin Umno bincang isu kerjasama dengan DAP

Shakira Buang

Diterbitkan

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook menegaskan dia tidak pernah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno seperti yang didakwa bekas setiausaha agung BN Annuar Musa, semalam.

Malah Loke berkata dia tidak pernah berbincang berhubung kerjasama antara DAP dan Umno untuk membentuk kerajaan baru dengan pemimpin parti itu.

“Saya tak pernah jumpa mana-mana pemimpin Umno untuk bincang perkara ini (bentuk kerajaan baru) dan saya tak pernah cakap apa-apa,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini.

Loke berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Annuar sebelum ini bahawa beberapa pemimpin Umno menemui Loke untuk membincangkan perkara itu.

Annuar turut mengulangi dakwaan itu dalam wawancara bersama TV Pertiwi semalam, di mana dia mendakwa antara yang menemui bekas menteri pengangkutan itu ialah ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, iaitu badan pembuat keputusan tertinggi parti itu.

Bagaimanapun, Annuar tidak menamakan pemimpin yang dimaksudkannya.

“Memadai saya menyatakan saya mendapat maklumat sahih…bahawasanya di luar keputusan parti, ada pimpinan tertinggi parti yang terlibat dalam pertemuan dengan Anthony Loke dari DAP,” katanya ketika diminta menjelaskan dakwaannya baru-baru ini yang Umno sedia bekerjasama dengan DAP untuk menubuhkan kerajaan baru.

Bagaimanapun ketika diminta mengulas apakah pendedahan Annuar itu satu penipuan, Loke enggan mengulas lanjut dan hanya mengulangi penafiannya.

“Saya tak pernah cakap apa-apa dengan pemimpin Umno,” katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.