mk-logo
Berita
Banjir: Bank Alliance, Hong Leong tawar moratorium pinjaman 6 bulan
Diterbitkan:  Jan 13, 2021 8:45 PM
Dikemaskini: 12:46 PM

Alliance Bank Malaysia Bhd dan Hong Leong Bank Bhd telah mengumumkan akan menyediakan bantuan kewangan kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri di Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Alliance Bank berkata inisiatif bantuan banjir merangkumi moratorium pinjaman bagi tempoh enam bulan, penyusunan semua pembayaran pinjaman, dan pengecualian fi dan caj untuk perkhidmatan terpilih.

Perkhidmatan tersebut ialah penggantian kad debit, kad mesin juruwang automatik (ATM), buku cek dan buku bank yang hilang atau rosak akibat banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Joel Kornreich berkata pelanggan yang terjejas boleh menghubungi bank untuk membincangkan pakej bantuan yang memenuhi keperluan mereka.

Sementara itu, Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank turut menggerakkan program bantuan banjir yang menawarkan moratorium pembayaran hingga enam bulan untuk semua kemudahan pinjaman dan perbankan Islam termasuk kad kredit.

Pembiayaan tambahan juga akan disediakan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pelanggan komersial sedia ada yang memerlukan modal kerja untuk memudahkan pemulihan perniagaan mereka akibat banjir baru-baru ini, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Hong Leong Bank, Domenic Fuda berkata pelanggan yang terjejas sedang menerima bantuan di bawah Pelan Bantuan Bantuan Pembayaran bank itu, pelanggan yang di bawah Bantuan Pembayaran Semula untuk golongan B40, M40 dan syarikat mikro untuk masalah berkaitan Covid-19 juga layak untuk memohon bantuan banjir.

"Bank ini juga menawarkan penggantian percuma dokumen berkaitan bank seperti kad debit dan kredit, cek dan penyata bank yang rosak atau hilang dalam banjir," katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha bantuan bencana masyarakatnya, bank itu telah berikrar memberi sumbangan sebanyak RM200,000 kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan, Mercy Malaysia.

Bank itu berkata sumbangan itu akan membantu Mercy Malaysia dalam memberi perlindungan dan perkhidmatan berkaitan kesihatan berkaitan Covid-19, bekalan makanan, sokongan logistik untuk mobilisasi tindak balas, serta sokongan air, sanitasi dan kebersihan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS