Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seluruh penduduk Kampung Chedok, Bukit Bunga, Tanah Merah, disarankan supaya menjalani ujian saringan Covid-19, hari ini, kerana dikhuatiri mempunyai risiko selepas beberapa penduduk di kampung berkenaan didapati positif.

Seorang penduduk mahu dikenali sebagai Khairul, 30-an, berkata, mereka diarahkan berbuat demikian hari ini dan ujian itu dibuat oleh petugas kesihatan di sebuah surau berdekatan.

"Saya difahamkan ujian ini disarankan oleh pihak berwajib selepas beberapa orang perantau yang pulang ke kampung ini didapati positif.

"Jadi hari ini penduduk secara sukarela tampil untuk buat ujian saringan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Sementara itu, penduduk berkenaan berkata mereka bimbang dengan penularan Covid-19 di kampung tersebut susulan 'pembawa' dikatakan berada di banyak lokasi sepanjang pulang ke kampung.

"Sebagai penduduk, semestinya menjadi kebimbangan dan penduduk mengambil tanggungjawab untuk jalani ujian saringan.

"Selain penduduk di sini, ada juga penduduk dari kampung berhampiran untuk turut sama lakukan ujian dan ada juga yang buat saringan lebih awal di klinik dan hospital," katanya.

Terdahulu, viral gambar-gambar di media sosial yang menunjukkan penduduk kampung tersebut sedang menunggu giliran untuk melakukan ujian saringan.

Sebagai rekod Kelantan menyaksikan peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak dua minggu lalu dengan kes positif keseluruhan berjumlah 1,565.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Zaini Husin mengesahkan pihaknya menjalankan ujian saringan di Kampung Chedok.

Bagaimanapun katanya, tiada maklumat terperinci yang dapat dikongsikan buat masa ini.

Ujian dijalankan bermula jam 9 pagi dan selesai sekitar jam 4.30 petang.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS