Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad berhak bertanding sebagai perwakilan ke perhimpunan agung dan seandainya beliau terpilih, ia tidak akan menjadi sebarang masalah kepadanya.

"Majlis Tertinggi Umno berpandangan Tun Dr Mahathir berhak untuk menjadi calon perwakilan ke persidangan Umno akan datang."

"Bagaimanapun ini terserah kepada Umno Kubang Pasu untuk menentukannya," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di ibu pejabat di Kuala Lumpur Umno malam tadi.

Perdana Menteri mengulas hasrat bekas Presiden Umno itu untuk bertanding sebagai perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu bagi membolehkannya menghadiri perhimpunan agung parti itu November depan.

"Sekiranya beliau hadir kenapa pula saya perlu ada masalah? Saya ada tugas saya, saya akan melakukan apa yang saya boleh, saya akan lakukan apa sahaja yang saya perlu lakukan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat bulan Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur malam tadi.

Menurut laporan Bernama, Abdullah turut mengetepikan sebarang tanggapan bahawa terdapat persengketaan antara beliau dengan Dr Mahathir. Secara berseloroh beliau berkata, ada sesuatu yang tidak kena dengan golongan yang beranggapan begitu.

"Setiap kali bertemu saya tidak pernah tidak bersalaman dengan beliau," katanya.

Ditanya sama ada MT akan menghadapi masalah sekiranya Dr Mahathir menghadiri perhimpunan itu, Abdullah, yang juga Perdana Menteri berkata: "Perkara ini terserah kepada Badan Perhubungan negeri untuk membuat keputusan sejajar dengan amalan yang telahpun wujud sejak bertahun-tahun lamanya."

Semasa diminta menghuraikan maksud amalan yang telahpun wujud itu, Abdullah berkata: "Beliau (Dr Mahathir) layak dipertimbangkan (untuk menyampaikan ucapan pada perhimpunan parti selaku seorang perwakilan) tetapi kami serahkan kepada Badan Perhubungan negeri untuk memutuskannya."

Ditanya adakah perhimpunan agung merupakan platform yang sesuai untuk Dr Mahathir berucap, Abdullah berkata: "Itu jangan tanya saya. Tanya dialah.

"Kita tidak adakan mesyuarat untuk memberi peluang kepada sesiapa pun. Siapa nak bercakap semuanya ditentukan oleh perhubungan (negeri) masing-masing," katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata mesyuarat Umno bahagian berjalan lancar setakat ini dan berdasarkan laporan yang diterima, semua bahagian menyatakan sokongan padu terhadap pimpinan parti sekarang.