Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Idris Ahmad pula positif Covid-19
Diterbitkan:  Jan 16, 2021 5:34 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Seorang lagi ahli politik kanan dijangkiti Covid-19. Kali ini Naib Presideb PAS Idris Ahmad.

Senator itu dipercayai terdedah kepada virus berkenaan selepas menjadi kontak rapat kepada ahli PAS dari Kelantan.

Perkara itu disahkan seorang pemimpin kanan PAS kepada Malaysiakini selepas khabar mengenainya tersebar menerusi aplikasi WhatsApp.

"Sahih," kata salah seorang pemimpin PAS secara ringkas ketika ditanya mengenai pengesahan maklumat yang tersebar itu.

Melalui maklumat yang tersebar dipercayai ditulis oleh bekas ahli Parlimen Bukit Gantang itu sendiri, dia memaklumkan tentang pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa dia positif wabak itu.

"Minta maaf banyak-banyak. KKM baru call (hubungi) lepas Maghrib tadi saya positif Covid," katanya.

Menurut mesej berkenaan dia menjadi kontak rapat ahli PAS yang hadir dalam program parti di Perlis pada Khamis lalu.

Kata mesej itu lagi sesiapa yang ada berhampiran dengan Idris di Kedah pada petang Jumaat lalu dan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS di Kuala Lumpur pada 9 Jan dinasihat agar berhati-hati.

Untuk rekod jawatankuasa berkenaan memang mengadakan pertemuan di ibu pejabat parti terbabit di Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Turut hadir beberapa pemimpin utama PAS termasuk Takiyuddin Hassan (setiausaha agung), Ahmad Samsuri Mokhtar (naib presiden), Ahmad Yaakob (menteri besar Kelantan) dan Muhammad Sanusi Md Nor (menteri besar Kedah).

Bagaimanapun difahamkan kesemua pimpinan PAS yang hadir pada mesyuarat itu sudah melakukan ujian saringan bagi mengetahui status masing-masing.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad, berkata lajnah kesihatan parti itu sudah mengambil tindakan berhubung perkara berkenaan.

Lihat Komen
ADS