Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Husam gesa PM guna peruntukan senator PH bantu barisan hadapan
Diterbitkan:  Jan 17, 2021 7:16 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

Senator Husam Musa menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggunakan wang potongan peruntukan anggota Dewan Negara dari Pakatan Harapan (PH) bagi membantu keperluan hospital dan barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19.

"Saya percaya, wang peruntukan itu agak besar jumlahnya kerana sebahagian besar kami ahli dewan negara PH belum sempat membelanjakannya kerana baru saja diluluskan pada waktu itu.

"Saya berharap perdana menteri boleh menggunakan baki peruntukan kami itu untuk meningkatkan kebajikan atau keperluan perubatan semua hospital-hospital di seluruh negara, jika tidak pun dipulangkan kepada kami sebahagian darinya untuk kami juga berkhidmat kepada rakyat dengan sewajarnya," katanya dalam surat yang dilampirkan bersama hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Husam surat tersebut diutuskan kepada Muhyiddin Yassin selepas terkesan dengan surat terbuka doktor dari Hospital Sungai Buluh yang disiarkan Malaysiakini semalam, mengenai tekanan yang dialami oleh petugas-petugas kesihatan dalam menangani wabak Covid-19. 

Malah Husam berkata dia sendiri bersedia memotong elaun sebanyak RM1,000 sebulan bagi membantu petugas barisan hadapan.

"Sebagai tanda kebersamaan saya terhadap 'doktor dari Hospital Sg Buluh' ini yang mungkin mewakili petugas kesihatan di semua hospital di seluruh negara, saya dengan rendah hati menderma sebanyak RM1,000 sebulan daripada elaun saya selaku ahli Dewan Negara bermula dengan gaji bulan Januari sehingga wabak Covid-19 ini reda, dengan pertolongan Allah," katanya turut mengajak rakyat Malaysia turut serta dalam menyalurkan bantuan itu.

Husam yang juga ketua Amanah kawasan Kota Bharu itu turut mencadangkan agar Muhyiddin menurunkan peruntukan segera dan mencukupi untuk menyediakan kemudahan di semua hospital.

Malaysiakini hari ini menyiarkan surat daripada doktor Hospital Sungai Buloh berhubung sistem penjagaan kesihatan pada ketika ini.

Antara lain surat itu menyatakan sistem perubatan kini berada pada 'tahap genting' dengan pemotongan peruntukan, kekurangan tenaga kerja, kesesakan dan juga kekurangan kemas kini kemudahan.


Lihat Komen
ADS