MCA mahu Barisan Nasional (BN) melakukan kajian terhadap perubahan sikap pengundi Cina di beberapa negeri hingga menyebabkan parti komponen berasas kaum Cina tewas dalam pilihanraya baru-baru ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Chan Kong Choy berkata, kini terdapat kecenderungan pengundi Cina di Sabah, Sarawak dan negeri-negeri lain mula menolak parti komponen BN.

"BN telah kehilangan banyak kerusi dalam pilihanraya Sarawak baru-baru ini. Kekalahan ini jelas menunjukkan kaum Cina tidak puashati terhadap kerajaan.

"Kita tidak boleh memandang rendah perkara ini, kajian perlu dibuat supaya kita tahu apa yang menyebabkan mereka tidak puas hati," katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-43 di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai dan beberapa bekas Ketua Pemuda MCA seperti Tan Sri Lee Kim Sai dan Yap Pian Hon.

Chan yang juga Menteri Pengangkutan berkata, dalam keadaan rasa tidak puas hati di kalangan pengundi Cina semakin ketara, tindakan atau kenyataan berunsur perkauman perlu dielakkan oleh semua komponen BN.

" Perbuatan memburuk-burukkan Pemuda MCA perlu dihalang atau diberhentikan. Kita tidak membenarkan aktiviti tidak sihat ini kerana ia membahaya dan boleh menyebabkan parti berpecah belah."

"Apa yang perlu dilakukan oleh semua komponen BN sekarang ialah mengukuhkan perpaduan dan menangani rasa tidak puas hati di kalangan rakyat," tekan Chan lagi.

Pengundi Cina

Beliau menambah, jika kekeliruan dan rasa tidak puas hati itu tidak ditangani dengan baik ia mungkin membawa kesan buruk dalam pilihanraya akan datang.

Dalam pilihanraya negeri Sarawak beberapa bulan lalu parti komponen BN yang berasaskan kaum Cina, SUPP kalah teruk di kawasan majoriti pengundi Cina.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai di dalam ucapannya pula berkata, masalah kekurangan guru-guru bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina amat membimbangkan.

Beliau menggesa Kementerian Pelajaran mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah tersebut.

Liow juga berharap menteri berkenaan mempertimbangkan pengambilan pelajar lepasan sekolah menengah persendirian Cina sebagai guru bahasa Cina di sekolah-sekolah kebangsaan.

Beliau juga meminta kerajaan menambah peruntukan untuk sekolah aliran bahasa Cina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan sebanyak sekali ganda lagi.

Kerajaan baru-baru ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Dalam sidang media selepas majlis tersebut, Hishamuddin berkata, pihaknya akan meneliti cadangan Liow itu.

"Saya dan pegawai kementerian akan berbincang dengan MCA. Bagaimanapun, hanya sekolah tertentu yang mengalami masalah kekurangan guru," tambahnya.