Malaysiakini
BERITA

Telefon menteri kena godam, 'monyet merokok' jadi gambar profil

Ramieza Wahid

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Jan 2021, 8:48 pagi

Talian telefon dan aplikasi WhatsApp anggota parlimen Padang Terap Mahdzir Khalid digodam, kata pegawai khasnya Aizat Azam.

Kejadian tersebut, katanya, mula disedari sejak pukul 10 malam tadi.

“Untuk makluman, walaupun Mahdzir tidak menggunakan aplikasi WhatsApp dan mematikan telefon bimbitnya, tetapi aplikasi tersebut kelihatan sedang online - yang mana ia jelas menunjukkan ia sedang digodam oleh seseorang,” katanya.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Twitter, Aizat meminta semua pihak mengabaikan “hantaran kurang menyenangkan” daripada nombor tersebut.

“Segala hantaran dan maklum balas di aplikasi WhatsApp daripada nombor telefon yang digunakan bekas menteri pendidikan itu bukan daripada beliau.

“Adalah dimohon tuan puan untuk mengabaikan sebarang bentuk hantaran dan maklum balas yang tidak menyenangkan,” katanya.

Jelas Aizat, pihaknya akan membuat aduan rasmi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sementara itu, Aizat ketika dihubungi Malaysiakini turut memberikan contoh hantaran kurang menyenangkan yang dihantar penggodam secara automatik kepada semua kumpulan WhatsApp bekas menteri pendidikan itu.

Dia berkata penggodam turut mengubah gambar profil WhatsApp Mahdzir.

“Dia hantar gambar macam monyet hisap rokok disertai sejumlah pautan. Gambar profil juga ditukar," katanya.

Ada juga gambar yang diambil daripada animasi dengan aksi yang sama.

"Gambar dan pautan itu dhantar ke hampir semua kumpulan Whatsapp (yang disertai) Datuk Seri (Mahdzir)," katanya lagi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.