Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MKN tak sepatutnya longgar sekatan pada Dis lalu, kata MP Bangi
Diterbitkan:  Jan 23, 2021 12:33 PM
Dikemaskini: 4:39 AM

Anggota Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) gagal memerangi Covid-19 kerana melonggarkan syarat kebenaran rentas negeri pada Dis tahun lalu ketika kadar “peratus positif” melebihi 5 peratus.

Jelasnya, kerajaan sepatutnya hanya boleh melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP) sekiranya kadar itu kurang daripada 5 peratus.

Merujuk laporan yang menyatakan kadar “peratus positif” di Malaysia melebihi 5 peratus sejak 6 Nov tahun lalu, Ong berkata, MKN membuat kesilapan dengan melonggarkan kebenaran rentas negeri di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Bekas timbalan menteri itu juga menambah, tidak mustahil kes harian Covid-19 di Malaysia akan mencapai 8,000 pada suatu masa nanti jika melihat keadaan yang berlaku kini.

“Pada 18 Jan 2020, saya menerbitkan senarai 10 soalan berkaitan Covid-19 yang ditujukan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham (Abdullah).

“Salah satu soalan yang saya ajukan ialah, adakah dia akan menerbitkan nilai Rt mengikut negeri supaya orang ramai dapat mengetahui trend Covid-19 yang diramalkan untuk setiap negeri dan bagaimana nilai Rt dapat digunakan untuk menentukan tarikh PKP akan dihentikan bagi setiap negeri.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Noor Hisham kerana menerbitkan nilai Rt terkini mengikut negeri semalam, pada 21 Jan 2020.

"Ramalan terkini menunjukkan bahawa jumlah Covid-19 harian mungkin mencecah 8,000 kes pada akhir bulan Mac 2021 jika nilai Rt kekal pada tahap 1.1 untuk seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semasa cuti akhir tahun

Selain nilai Rt, Ong menjelaskan, kerajaan juga harus memberi perhatian pada kadar "peratus positif" ujian saringan Covid-19 yang diberikan sebagai langkah kritikal.

Hal itu kerana, katanya, ia akan memberi petunjuk penularan jangkitan di kawasan ujian diadakan, dan adakah tahap ujian sesuai dengan tahap penularan penyakit.

“Menurut WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia), nilai ambang 'peratus positif' ialah 5 peratus.

“Pada 21 Jan 2021, CodeBlue melaporkan bahawa kadar 'peratus positif' Malaysia melebihi 5 peratus sejak 6 Nov 2020 dan tidak turun dari nilai berkenaan sejak itu.

“Mengapakah MKN membenarkan perjalanan merentas negeri bermula pada 7 Dis 2020 di bawah PKPB?

“Adakah langkah ini menyumbang kepada peningkatan jumlah kes Covid-19 terutamanya memandangkan jumlah perjalanan merentas negeri yang tinggi ke tempat-tempat seperti Langkawi semasa percutian akhir tahun?” soalnya.

Ong turut mendakwa apa yang berlaku merupakan contoh bahawa MKN tidak konsisten untuk mengekang penularan wabak tersebut.

“Keputusan untuk menyekat pergerakan dan kemudian meningkatkan sekatan sepertinya tidak berdasarkan peraturan atau garis panduan yang konsisten.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi gagal meyakinkan orang ramai bahawa ia mempunyai rancangan yang konsisten, koheren dan komprehensif untuk mengawal wabak ini,” tambahnya.

Lihat Komen
ADS