Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memilih jalan mahkamah untuk berdaftar sebagai parti politik secara rasmi.

Ia susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menolak permohonan pendaftaran Muda menerusi emel pada 6 Jan lalu.

ROS, dalam emel berasingan, turut menolak permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Muda menerusi firma Tetuan Sreenevasan memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Jan lalu.

Antara 13 pemohon semakan kehakiman itu adalah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bekas Menteri Belia dan Sukan dan juga pengasas Muda.

Menurut salinan kertas kausa yang dilihat Malaysiakini, semakan itu menamakan ROS dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.

Mereka memohon arahan mahkamah untuk membatalkan keputusan ROS yang menolak pendaftaran Muda sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik menurut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966.

Mereka juga antara lain memohon ganti rugi termasuk ganti rugi teruk, kos, dan ganti rugi lain yang dirasakan wajar oleh mahkamah.

Salinan afidavit Syed Saddiq bagi menyokong permohonan itu mendakwa keputusan untuk menolak permohonan adalah tidak berperlembagaan kerana ia mencabul hak kebebasan bersuara dan berpersatuan mereka.

Dia mendakwa keputusan itu tidak sah kerana dibuat melangkaui kuasa responden berdasarkan Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966.

Dia turut mendakwa sebab sebenar permohonan Muda ditolak adalah berkaitan dengan keengganannya mematuhi permintaan seorang menteri agar dia menyokong perdana menteri.

Bekas ketua Pemuda Bersatu itu mendakwa perbualan berkenaan perkara itu berlaku pada 13 Dis lalu, berkaitan status permohonan Muda pada masa itu.

"Menteri jawab saya perlu 'commit' kepada perdana menteri. Dia ingatkan saya bahawa saya sehingga saat itu sentiasa mengundi menentang kerajaan di Parlimen.

"Saya sekali lagi menjawab yang saya tidak boleh mengabaikan tugas sebagai ahli Parlimen dan akan mengundi berdasarkan pendirian dan kepentingan pengundi." katanya.

Syed Saddiq turut mendakwa keenganan ROS untuk mendaftarkan Muda akan menafikan pilihan kepada pengundi.

Dakwanya, ia ditambah lagi dengan hakikat yang PN hanya memiliki majoriti tipis di Parlimen, yang dikatakan menandakan PRU15 mungkin akan diadakan.

"Tambahan pula, sejumlah usul tidak percaya telah difailkan terhadap perdana menteri di Parlimen. Semua faktor ini menandakan satu pilihan raya umum akan dibuat dalam masa terdekat.

"Justeru kegagalan mendaftarkan Muda akan banyak menjejaskan persediaan Muda dan calonnya untuk PRU15 atau mana-mana PRK," kata ahli Parlimen Muar itu lagi.

Menurut senarai kausa di laman ecourtservices.kehakiman.gov.my, pendengaran untuk permohonan ini akan dibuat pada pukul 10 pagi esok (25 Jan) di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mariana Yahya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS